Kerajaan akan perkenal sistem cukai yang lebih adil, seimbang - Utusan Malaysia

Kerajaan akan perkenal sistem cukai yang lebih adil, seimbang

MOHD. SHAHAR ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan berjanji akan memperkenalkan suatu sistem percukaian yang lebih seimbang, adil dan saksama bagi meningkatkan hasil negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd. Shahar Abdullah berkata, kerajaan mengambil maklum pandangan pelbagai pihak supaya levi keuntungan luar biasa dikenakan kepada perniagaan tertentu yang menjana keuntungan yang berlipat ganda semasa krisis pandemik Covid-19.

Namun, katanya, kerajaan belum berhasrat untuk melaksanakan cukai keuntungan modal atau capital gains tax (CGT) sepenuhnya.

“Bagaimanapun, inisiatif dan kajian yang berterusan sedang dijalankan oleh kerajaan untuk menstruktur suatu sistem percukaian yang lebih seimbang, adil, saksama supaya dapat menyokong dan meningkatkan hasil negara.

“Kerajaan perlu berhati-hati dalam memastikan langkah-langkah cukai yang akan dilaksanakan tidak membebankan rakyat, tidak menjejaskan kedudukan ekonomi, dan dapat mempertingkatkan daya saing negara selaras dengan Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator N. Balasubramaniam berhubung kaedah percukaian alternatif seperti CGT dan windfall tax (cukai durian runtuh).

Ketika ditanya dalam soalan tambahan sama ada kerajaan akan mengenakan levi terhadap syarikat yang mengaut keuntungan besar seperti Top Glove, Shahar mengakui perkara itu agak sukar untuk dilakukan.

“Untuk melaksanakan langkah-langkah cukai kepada barang atau produk yang disifatkan finishing produk, ia agak sukar kerana melibatkan standard berbeza, kualiti berbeza dan harga juga berbeza berbanding harga kelapa sawit telah ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) setiap bulan.

“Tetapi yang paling penting adalah melihat satu ekosistem lebih luas, bukan hanya melihat levi sebagai hasil negara, sebab kita ketahui kutipan hasil terbahagi kepada tiga iaitu cukai langsung, cukai bukan langsung dan terimaan bukan cukai, jadi levi berada di bawah terimaan bukan cukai.

“Kutipan levi untuk keuntungan luar biasa yang diperkenalkan sehingga September 2021 hanya berjumlah RM4.1 bilion tetapi cukai korporat yang dibayar oleh syarikat yang mengaut keuntungan setiap tahun adalah berjumlah hampir 25 peratus kepada jumlah hasil negara, jadi perkara ini yang sedang dipertimbangkan kementerian khususnya untuk melihat apa langkah terbaik untuk kita lakukan bagi memberi keadilan kepada ekosistem pelaburan dalam negara,” katanya.

Dalam satu lagi soalan tambahan yang diajukan oleh Senator Robert Lau Hui Yew sama ada Kementerian Kewangan akan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Shahar menegaskan bahawa kerajaan akan melaksanakan sistem percukaian yang mengambil kira kepentingan semua pihak.

“Kita akui sistem percukaian mestilah bersifat lebih seimbang, adil dan saksama dalam kita mengaut hasil negara untuk dipulangkan kepada rakyat.

“Kerajaan hari ini amat prihatin. Kita tidak akan memperkenalkan langkah cukai tanpa mengambil kira faktor kebajikan rakyat serta kemantapan dan kelangsungan ekonomi negara, khususnya kepada para peniaga.

“Itu sebabnya, sebarang langkah cukai yang ingin kita lakukan sudah pasti mengambil kira libat urus bersama pihak berkepentingan. Insya-Allah, apabila ekonomi berada dalam keadaan yang lebih baik daripada apa kita hadapi tahun ini, kerajaan akan memperkenalkan satu cukai yang lebih seimbang dan saksama,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya