KUALA PILAH: Sebuah kedai makan popular di Ulu Bendul di sini iaitu Warung D’Sawah terbakar dalam kejadian di Kampung Ulu Bendul, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 3.38 pagi.
Ketua Balainya, Mohd Sharif Ahmad berkata, pasukannya tiba di lokasi dan mengambil masa kira-kira lima minit bagi mengawal kebakaran.
“Kebakaran membabitkan kedai makan di tepi sawah berkeluasan 25×30 kaki persegi yang dianggarkan terbakar 50 peratus.
“Tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran ini. Bomba berjaya menyelamatkan sebuah motosikal daripada musnah terbakar yang terdapat di kedai berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Sharif berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan. – UTUSAN ONLINE