Ke mana Pegawai Pemantau Harga? - Utusan Malaysia

Ke mana Pegawai Pemantau Harga?

MOHD. FIRDAUS ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan disaran menyerap 2,000 Pegawai Pemantau Harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke jawatan tetap bagi menjamin masa depan dan mengiktiraf peranan mereka.

Sehingga kini, pegawai terbabit masih bertaraf kontrak sejak jawatan itu diwujudkan pada 1 April 2008 antara lain bagi memantau kenaikan dan penurunan harga barangan di pasaran.

Seramai 2,000 graduan berlatarbelakangkan akademik cemerlang dilantik memegang jawatan itu secara kontrak untuk perkhidmatan (CFS) dan disambung setiap tahun.

Pegawai Pemantau Harga di bawah Majlis Harga Barang Negara (MHBN) sejak itu menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan terutama dalam mengkaji senario kenaikan harga serta bekalan sama ada di peringkat pengilang, pembekal, pemborong atau peruncit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, atas sumbangan kepada negara dan sektor kepenggunaan, sudah sampai masanya kerajaan menyerap Pegawai Memantau Harga ke jawatan tetap.

Jelasnya, sejak dilantik pada 2008, peranan pegawai yang bertaraf kontrak itu penting dalam membantu pegawai pengua tkuasa kementerian mengawal peniaga daripada menaikkan harga barang sesuka hati.

Beliau berkata, kesemua mereka mempunyai latihan serta banyak pengalaman dalam bidang pengkuatkuasaan dan pemantauan harga barangan.

“Mereka wajar diserap kerana menjalankan tugas dengan berkesan membantu kementerian dalam mengawal harga barang terutama pada musim-musim perayaan.

“Jika mereka yang berpengalaman ini berhenti kerja atau mendapat pekerjaan baharu, ia merugikan kementerian terutama bagi melatih pekerja baharu melaksanakan tugas itu,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September 2010 ketika menjawat jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pernah memohon kerajaan ketika itu menimbang menyerap Pegawai Pemantau Harga ke jawatan tetap.

“Inilah masanya untuk kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri menghargai jasa dan pengorbanan Pegawai Pemantau Harga kepada negara.

“Pegawai Pemantau Harga adalah sumber utama kerajaan dalam mengenal pasti kedudukan harga serta bekalan barangan tertentu kerana keupayaan mereka mendapatkan data-data primer daripada pembekal mahupun peruncit,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya