Kayuhan basikal 'Go Green' inisiatif penghijauan kampus

Kayuhan basikal ‘Go Green’ inisiatif penghijauan kampus

ABDUL Aziz Abdul Rahman (depan, kiri) bersama pengurusan universiti menyertai Kayuhan Berbasikal 'Go Green' Inisiatif Penghijauan Kampus sekitar kampus UMP Pekan di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Program Kayuhan Go Green Bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) anjuran Yayasan UMP baru-baru ini memberi pendedahan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan melalui aktiviti berbasikal dalam kampus serta sebagai amalan terbaik dalam usaha menyokong agenda penghijauan kampus.

Kayuhan yang diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman sejauh dua kilometer itu turut disertai Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP dan pengurusan tertinggi UMP. 

Program berkenaan disertai seramai 40 staf program bermula dari Bangunan Canseleri Tun Abdul Razak menuju ke Rimba Lestari UMP dan menerusi kayuhan tersebut juga berjaya mengurangkan penghasilan karbon dioksida sebanyak 188 Kg CO2.

Amalan teknologi hijau itu juga dapat meminimumkan degradasi terhadap alam sekitar, memulihara tenaga dan sumber semula jadi dan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Abdul Aziz berkata, inisiatif penghijauan kampus UMP juga melibatkan kawasan penanaman pokok, kawasan hutan dan kawasan lapang yang ditumbuhi tumbuhan semula jadi.

“Sebanyak 27.5 peratus digazetkan sebagai kawasan hijau dalam kawasan kampus bagi mewujudkan suasana kampus yang nyaman, teduh, rendang, dan seterusnya mengurangkan pemanasan global.

“UMP dengan kerjasama pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain juga giat menjalankan penanaman pokok dalam UMP termasuklah tanaman aromatik dan perubatan, spesies asli, spesies yang cepat tumbuh, spesies yang memberikan naungan dan juga pokok yang dapat tumbuh di ekosistem pesisir semula jadi sehingga mencecah lebih 7,000 anak pokok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Pada program itu, Abdul Aziz turut diberi penerangan tentang perkembangan Rimba Lestari, pondok wakaf  dan kawasan hijau UMP disampaikan Pengurus Kanan Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Ernie Nurazlin Lizam dan Jurutera Kanan, Ts. Mohd. Nurulakla Mohd. Azlan.

Dalam pada itu, pihak Pusat Reka Bentuk dan Inovasi Teknologi sedang menjalankan projek geran pembangunan produk UMP Rimba Lestari Smart Irrigation System bagi membangunkan teknologi berkaitan penggunaan sumber bekalan air bawah tanah serta kolam tadahan atau air tasik bagi memastikan tanaman mendapat bekalan air secukupnya.  

Rimba Lestari terletak di antara bangunan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).

Turut berlangsung prapelancaran Tour De Pahang kayuhan 900 kilometer menjelang Sambutan 20 tahun UMP dan ‘Tok Gajah Virtual Challenge’ yang merupakan usaha Yayasan UMP dalam mengumpul dana bagi setiap tabung dan endowmen untukmembantu pelajar dan golongan komuniti di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya