KULAI: Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) bersedia menerima kunjungan orang awam dan pendaki di kesemua kawasan eko-pelancongan di bawah kendalian JPNJ setelah Johor beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa hari ini.
Pengarahnya, Datuk Salim Aman berkata, ia melibatkan lapan Taman Eko Rimba (TER), dua Hutan Taman Negeri (HTN) dan 15 kawasan pelancongan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) negeri Johor.
Beliau berkata, pihaknya sudah bersedia dari segi penyeliaan dan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika pengunjung mengadakan aktiviti rekreasi dan riadah di kesemua kawasan terlibat.
“Kemasukan setiap pengunjung akan direkodkan di pintu masuk bagi mengelakkan ia melebihi had pengunjung yang dibenarkan iaitu 50 peratus daripada kapasiti sebenar.
“Kami tidak mahu berlakunya kesesakan luar biasa di kawasan jagaan JPNJ. Tempoh had masa yang dibenarkan bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang,” katanya ketika membuat lawatan Fasa tiga PPN di TER Gunung Pulai 1, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Salim berkata, terdapat 10 kawasan eko-pelancongan di bawah JPNJ masih ditutup kepada umum bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf yang dijangka siap secara berperingkat menjelang hujung bulan ini.
Katanya, ia melibatkan TER Gunung Pulai 2, TER Sungai Bantang di Labis, TER Gunung Berlumut di Kluang, TER Panti di Kota Tinggi dan HTN Ayer Hitam Utara di Muar.
Turut ditutup, katanya, ialah Batu Tenggek di Kota Tinggi, Gunung Belumut, Gunung Gua Rimau, Gunung Chemendung masing-masing di Kluang dan Gunung Banang di Batu Pahat.
Sementara itu, beliau berkata, bagi pengunjung perlu mendapatkan permit memasuki HSK sekiranya ingin menjalankan aktiviti pendakian di dalam kawasan itu.
Jelasnya, permit boleh dimohon dengan hadir ke Pejabat Hutan Daerah terdekat dalam tempoh empat hari sebelum tarikh pendakian selain perlu menggunakan khidmat malim yang diiktiraf sebagai pemandu alam semula jadi dengan nisbah tujuh pendaki di bawah seorang malim.
“Dalam permohonan permit, pendaki juga perlu menyertakan salinan kad pengenalan berserta vaksin lengkap yang terdapat di MySejahtera.
“Memasuki kawasan pendakian, harus mengikut kapasiti dan masa yang ditetapkan. Bagi aktiviti riadah, jarak yang ditetapkan antara satu hingga tiga meter manakala untuk aktiviti pendakian, jarak yang ditetapkan ialah tiga hingga lima meter bagi mengelak kesesakan ketika di puncak,” katanya.
Beliau turut memohon semua pengunjung dan pendaki menjaga kebersihan kawasan riadah dan laluan sepanjang trek pendakian supaya tiada penularan wabak Covid-19 dan penyakit seperti kencing tikus terjadi di kawasan rekreasi.
“Sekiranya orang awam didapati menjalankan aktiviti pendakian tanpa permit di kawasan yang tidak dibenarkan, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 47(1) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor bagi kesalahan memasuki HSK tanpa permit,” katanya. -UTUSAN ONLINE