Kawanan gajah liar 'serang' kebun sawit di Ulu Retang - Utusan Malaysia

Kawanan gajah liar ‘serang’ kebun sawit di Ulu Retang

SEBAHAGIAN tanaman sawit penduduk yang musnah apabila kawanan gajah liar menceroboh kebun di Kampung Ulu Retang di Jerantut, Pahang. - GAMBAR IHSAN PENDUDUK ULU RETANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Sembilan pekebun di Kampung Ulu Retang di sini terpaksa menanggung kerugian apabila kebun kelapa sawit mereka ‘diserang’ kawanan gajah liar yang menceroboh dalam tempoh minggu ini.

 

Difahamkan, waktu kawanan haiwan liar itu memasuki kebun penduduk tidak menentu dipercayai bermula pukul 2 pagi yang terdiri daripada sembilan ekor termasuk dua ekor anak dengan bertindak mencabut sebilangan pokok dan selebihnya merosakkan tanaman itu, iaitu bahagian pelepah dan daun.

 

Seorang pekebun sawit Kampung Ulu Retang, Datuk Basri Omar, 51, berkata, kejadian malam semalam berlanjutan daripada sejak awal bulan ini apabila kawanan gajah liar tersebut kerap menceroboh kawasan kebun sawit untuk mencari makanan.

 

“Sebanyak 35 batang pokok kelapa sawit berusia antara lapan hingga 10 tahun di kebun saya dicabut dan sebilangannya patah serta rosak di bahagian pucuk, daun pelepah oleh haiwan liar ini.

 

“Sehingga kini, cuma berbaki kira-kira 200 batang pokok yang sudah mengeluarkan hasil dan saya bimbang akan menjadi sasaran gajah liar ini semula memandangkan kebun ini terletak di pinggir hutan,” katanya di Kampung Ulu Retang di sini hari ini.

 

Menurut Basri, selain beliau, seramai lapan orang pekebun lagi menerima nasib yang sama apabila tanaman kelapa sawit mereka juga diceroboh dan dirosakkan oleh gajah liar itu.

 

Katanya, ancaman haiwan liar yang dipercayai berpindah dari kawasan hutan Kampung Batu Balak dan Kota Gelanggi pernah berlaku pada 2019 dan awal tahun ini juga melibatkan kerosakan tanaman kelapa dan pisang penduduk di situ.

 

“Terima kasih kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang sudah membuat pemantauan di sekitar kebun di sini malah sebagai penyelesaian jangka panjang lebih baik kerajaan membina pagar elektrik di sempadan pinggir hutan mukim Tembeling Tengah dan usaha pemindahan gajah liar ini ke tempat lain sebagai alternatif terakhir,” katanya. 

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin menjelaskan, fenemona konflik gajah liar dengan manusia membabitkan pencerobohan terhadap tanaman penduduk sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu dan haiwan liar itu semakin agresif semenjak dua tahun ini yang menjadi sasaran di perkampungan pesisir Sungai Tembeling di Mukim Tembeling Tengah. 

 

“Sejak dua tahun ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan menerima hampir 50 laporan dan aduan berkaitan ancaman gajah liar sama ada melibatkan kerosakan tanaman berskala kecil dan besar.

 

“Bagaimanapun, Perhilitan kerap membuat pemantauan sama ada menghalau semula gajah liar ini masuk ke hutan dan usaha penangkapan serta pemindahan seperti mana sebelum ini,” katanya.

 

Ujarnya, penduduk diminta berwaspada ketika masuk ke kebun dalam tempoh beberapa minggu ini dan perlu segera menghubungi ketua kampung dan Perhilitan sekiranya ternampak haiwan liar di kebun atau kesan kerosakan tanaman. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya