Jumlah pelajar sekolah ambil STEM masih bawah 60 peratus - Utusan Malaysia

Jumlah pelajar sekolah ambil STEM masih bawah 60 peratus

ADHAM Baba berucap merasmikan Grand Final Cabaran Sains Negara 2021 Piala Pusingan Perdana Menteri anjuran Akademi Sains Malaysia hari ini. – Foto ihsan ASM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan pelajar bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pada tahun lalu, bilangan pelajar terbabit masih lagi kurang 60 peratus, bahkan, tidak sampai separuh pun daripada angka keseluruhan.

 

“Laporan Kementerian Pendidikan pada 2020 lepas menunjukkan hanya 47.18 peratus pelajar peringkat menengah atas di seluruh negara yang memilih bidang pengajian STEM,” katanya ketika merasmikan Grand Final Cabaran Sains Negara 2021 Piala Pusingan Perdana Menteri anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) secara maya hari ini.

 

Pertandingan kuiz tahunan berprestij itu sudah dianjurkan sejak 1983, manakala pada tahun ini sebanyak 706 pasukan sekolah dari seluruh negara menyertainya bermula 16 Julai lalu.

 

Mengulas lanjut, Adham berkata, daripada jumlah pelajar STEM yang direkodkan kementerian itu, 26.6 peratus memilih bidang latihan serta pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), manakala baki 20.51 peratus lagi merupakan pelajar aliran sains tulen.

 

“Bilangan kecil ini wajarlah ditambah agar kita boleh capai sasaran 60 peratus pelajar STEM menjelang 2030 bagi memastikan negara mempunyai bekalan bakat STEM yang mencukupi sejajar Matlamat Pembangunan Mampan ditetapkan Pertubuhan Bangsa Bersatu pada 2030,” katanya.

 

Justeru, kementerian tersebut mengambil berat mengenai isu peratusan kecil pelajar terbabit kerana kelompok ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan masa depan negara kita.

 

Apatah lagi tegas beliau, banyak negara hari ini sudah mula berlumba-lumba dalam menghasilkan ilmu sains dan teknologi baharu yang lebih lestari, mampu milik serta selamat digunakan.

 

Oleh itu, Adham menambah, salah satu cara untuk mencapai visi ini ialah membudayakan STEM dalam kalangan pelajar selain komitmen pihak kerajaan membangunkan amalan tersebut.

 

“ASM, Pusat Sains Negara, Planetarium Negara dan banyak agensi lagi di bawah kementerian ini juga boleh bantu pihak sekolah serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya. -UTUSAN ONLINE

  

  

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya