Jangan terpedaya iklan tawarkan skim pinjaman KWSP - Utusan Malaysia

Jangan terpedaya iklan tawarkan skim pinjaman KWSP

ANTARA iklan syarikat pemberi wang menawarkan Skim Pinjaman KWSP yang memperdaya orang ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan tawaran syarikat pemberi wang yang menawarkan Skim Pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

KPKT menerusi kenyataan berkata, pihaknya mengesan iklan-iklan yang menawarkan skim pinjaman berkenaan khususnya di laman web dan laman sosial akhir-akhir ini.

 

Menurutnya, iklan-iklan itu menyasarkan pemilik akaun KWSP dengan menggunakan nama Syarikat Pemberi Pinjam Wang (PPW) berlesen atau Kredit Komuniti yang berdaftar di bawah KPKT.

 

“Iklan-iklan tersebut menawarkan pinjaman dengan kadar faedah antara lima hingga tujuh peratus sebulan.

 

“Kadar faedah ditawarkan itu jauh melebihi kadar faedah yang ditetapkan di dalam Akta Pemberi Pinjam Wang (1951) iaitu maksimum 1.5 peratus sebulan atau 18 peratus setahun bagi pinjaman individu,” katanya hari ini.

 

Katanya, KPKT memandang serius penularan maklumat dan iklan ini yang dikhuatiri bukan sahaja menjejaskan imej dan kredibiliti sektor kredit komuniti, bahkan turut memberi implikasi negatif kepada orang ramai.

 

Pada masa sama, KPKT menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan penawaran skim pinjaman yang seringkali mengaitkan syarikat kredit komuniti berlesen di bawah KPKT.

 

Katanya, urusan dengan pihak Kredit Komuniti hanya boleh berlaku di dalam premis perniagaan berdaftar dan sah sahaja.

 

“Orang ramai perlu sentiasa mendapatkan pengesahan maklumat daripada KPKT terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perjanjian dan tidak menandatangani sebarang perjanjian kosong.

 

“KPKT juga ingin menegaskan bahawa mana-mana Syarikat Kredit Komuniti berlesen yang didapati terlibat dengan pinjaman yang mengelirukan atau mengenakan kadar faedah yang tinggi boleh dikenakan tindakan tegas.

 

“Selaras dengan Seksyen 17A Akta 400, mereka yang didapati bersalah boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi 18 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

 

Sebarang aduan boleh dikemukakan secara dalam talian melalui Sistem Aduan Bersepadu KPKT iaitu aduan.kpkt.gov.my, aplikasi mudah alih i-KrediKom, Talian Hotline Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK) di talian 03-8891 4694/4690 ataupun hadir di Kaunter Aduan KPKT di Aras 1, KPKT di Putrajaya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya