Ikan gred tinggi ditemukan di Tasik dan Wetland Putrajaya - Utusan Malaysia

Ikan gred tinggi ditemukan di Tasik dan Wetland Putrajaya

AKTIVITI memancing ini memberi manfaat sebagai rekod inventori spesies ikan yang mendiami Tasik dan Wetland Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ikan gred tinggi seperti Temoleh dan Kelah sangat sensitif kepada pencemaran air, malah spesis itu hanya ditemukan di kawasan sungai bersih dan ekosistem yang sensitif.

Bagaimanapun, dua spesis ikan itu adalah antara 56 spesis ikan yang dikesan menjadikan Tasik Putrajaya dan Wetland Putrajaya sebagai habitatnya.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Tasik dan Wetland, Jabatan Perancangan Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj), Normaliza Noordin berkata, kehadiran ikan-ikan itu juga secara langsung menjadi penunjuk biologi ekosistem yang sihat kerana ia sangat sensitif dengan pencemaran.

Beliau berkata, kajian pada tahun lalu mendapati, nilai Indeks Kualiti Air Tasik Putrajaya adalah 92.8 sekali gus menunjukkan kualiti air yang sangat baik.

“Keadaan itu menjadikan ekosistem akuatik perbandaran ini habitat yang kondusif kepada ikan-ikan gred tinggi seperti Kelah dan Temoleh untuk terus mendiami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sistem pengurusan ikan bersepadu di Tasik Putrajaya dilaksanakan dengan kerjasama dan bantuan teknikal dari Jabatan Perikanan Malaysia. 

Normaliza berkata, aspek pengurusan adalah termasuk aktiviti persampelan, penambahan stok serta kawalan ikan pemangsa bagi tujuan kawalan serta keseimbangan populasi.

Menurutnya, PPj turut menganjurkan pertandingan memancing di lokasi-lokasi tertentu di Tasik Putrajaya bagi memberi peluang kepada kaki-kaki pancing untuk menjinakkan dan mendaratkan ikan bagi merebut hadiah pertandingan.

“Aktiviti memancing ini turut memberi manfaat sebagai rekod inventori spesies ikan yang mendiami Tasik dan Wetland Putrajaya.

“Inventori yang dijalankan sejak tahun 2000 merekodkan 56 spesies ikan ditemui di Tasik dan Wetland Putrajaya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, hanya 31 spesies ikan yang sering ditemui saban tahun semasa persampelan saintifik dilaksanakan bersama pihak Jabatan Perikanan. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya