Hospital Medan ATM di HSA kekal - Utusan Malaysia

Hospital Medan ATM di HSA kekal

Hishammuddin Hussein beramah mesra dengan para penduduk ketika melakukan lawatan kerja ke Projek Jiwa Murni di Kampung Sri Tambak, Kluang, hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Pengoperasian Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru akan dikekalkan mengambil kira kedudukannya yang berhampiran dengan sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tindakan itu sebagai langkah persediaan berhubung pergerakan dua hala di sempadan berkenaan.

“Berkenaan Hospital Medan di HSA Johor Bahru, saya minta mereka bertahan lagi kerana banyak perkara yang kita nak fikirkan termasuklah perjalanan rakyat Johor dan Singapura.

“Jadi kalau kita tutup di Johor Bahru, kalau sesuatu berlaku dalam landskap hubungan dua hala dengan Singapura saya bimbang akan jadi satu hal jika hendak mulakan balik, nak bina semula jadi saya minta mereka kekalkan dahulu di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan Lawatan Kerja ke Projek Jiwa Murni di Kampung Sri Tambak, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.

Ketika ini, hanya tiga daripada sembilan Hospital Medan ATM masih beroperasi iaitu Hospital Medan ATM HSA di Johor Bahru, Hospital Medan ATM Kepala Batas dan Hospital Medan ATM di Hospital Pulau Pinang.

Mengulas berhubung pengoperasian dua Hospital Medan ATM di Pulau Pinang pula, Hishammuddin memberitahu ia bergantung kepada keputusan kerajaan negeri berkenaan.

“Hospital Medan ATM di Pulau Pinang pula saya lihat keadaan sudah agak baik jadi keputusan sama ada henti operasi atau tidak bergantung kepada mereka dengan melihat keadaan semasa,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas berhubung peralihan Malaysia untuk memasuki fasa endemik wabak Covid-19, Hishammuddin berkata perkara itu akan ditentukan selepas menilai kesan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi ketika ini.

“Keputusan untuk peralihan fasa akan dibuat selepas membuat penilaian terhadap pelbagai kelonggaran diberi antaranya rentas negeri, rentas sempadan dan juga pembukaan sekolah serta institusi pengajian tinggi.

“Jadi ketika ini, fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan seperti biasa di mana ketika ini kita sedang memberi fokus kepada suntikan penggalak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut memaklumkan kadar vaksinasi suntikan vaksinasi Covid-19 dalam kalangan warga ATM telah mencapai tahap 100 peratus dan pihaknya ketika ini sedang melihat pelaksanaan suntikan penggalak mengikut kepada keperluan dan bekalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya