Hospital Bera siap sebelum akhir 2021 - Utusan Malaysia

Hospital Bera siap sebelum akhir 2021

ISMAIL SABRI Yaakob (depan) diberi penerangan ketika meninjau pembinaan Hospital Bera di Bera, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Projek pembinaan Hospital Bera di sini yang tertangguh pembinaannya akibat kegagalan kontraktor terdahulu bermula Oktober 2010 dijangka siap sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini. 

 

Sehingga kini, pembinaan Hospital Bera yang melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM130 juta telah 98 peratus siap oleh kontraktor ketiga yang dilantik pada 5 Januari lalu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setelah beberapa kali berdepan masalah kontraktor, akhirnya Hospital Bera yang begitu dinantikan penduduk di situ akan siap sepenuhnya. 

 

“Insya-Allah, penantian kita akhirnya berjaya, hospital ini selama ini kita tunggu dan saya berharap seperti dijanjikan akan siap sebelum akhir tahun ini. 

 

“Selama ini warga Bera terpaksa ke Temerloh dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan untuk ke hospital, jadi selepas ini semua penduduk Bera bergantung kepada hospital ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pembinaan Hospital Bera di sini hari ini. 

 

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, daripada segi bangunan hospital itu, boleh dikatakan ia telah siap 100 peratus cuma belum lengkap daripada segi kelengkapan dan kekemasannya.

 

“Maknanya tahun depan (2022), kita boleh rasmi hospital ini jika tiada apa-apa halangan. Kita jangka pada Januari atau Februari tahun depan. 

 

“Hospital ini mempunyai 40 katil dan sembilan klinik di dalamnya telah pun siap dibina. Cuma daripada segi kepakaran belum ada dan saya telah mohon kepada Kementerian Kesihatan untuk menempatkan pakar-pakar tertentu di hospital ini,” katanya.

 

Berhubung penjawatan, beliau berkata, ia belum dibuat dan dijangka Hospital Bera akan mempunyai 480 kakitangan terdiri daripada jururawat dan doktor. 

 

“Kita juga akan ada kuarters untuk para jururawat dan doktor yang bertugas di hospital ini, insya-Allah hospital ini akan terus ditambah baik daripada semasa ke semasa demi keperluan penduduk,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN