PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan sebanyak RM1.8 billion dengan 400,000 pembukaan akaun baharu Simpan SSPN sebelum berakhirnya tahun 2021 dalam usaha memupuk minat menabung serta menjami masa depan pelajar di institut pengajian tinggi (IPT).
Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, rekod sehingga September lalu menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan apabila berjaya mencatatkan sebanyak 315,984 pembukaan akaun baharu Simpan SSPN dengan jumlah RM1.78 billion sepanjang tempoh yang sama.
Katanya, PTPTN turut menyasarkan sebanyak RM110 juta deposit Simpan SSPN sepanjang tempoh program BMS 2021 berlangsung bermula 1 hingga 31 Oktober
“Alhamdulillah sasaran ini sudah dicapai bagi tempoh tersebut. Jumlah deposit yang diterima adalah sebanyak RM155 juta atau 141 peratus berbanding RM110 juta seperti yang disasarkan oleh PTPTN.
“Ini merupakan kejayaan yang besar di kala pandemik Covid-19 masih lagi melanda negara. Tahniah dan syabas kepada semua pendeposit kerana berjaya menjadi superhero kepada anak-anak,” katanya ketika Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2021 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disiarkan secara langsung di Facebook PTPTNOfficial dan YouTube rasmi PTPTN.
Dalam pada itu, Ahmad Dasuki menegaskan kepentingan perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi sebagai langkah pertama yang perlu dititik beratkan oleh ibu bapa sebagai persediaan awal untuk anak-anak melangkah ke menara gading.
“Dalam usaha memperkasakan perkara itu, pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan bagi menarik minat dan mendekatkan PTPTN di hati masyarakat.
“Program-program ini dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik dan diharap dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Malaysia,” ujarnya.
Katanya lagi, dalam usaha memantapkan BMS 2021, program PTPTN Prihatin: Jelajah Simpan SSPN 2021 dilaksanakan dalam memastikan pelajar asnaf mempunyai tabungan untuk menjamin masa depan mereka.
“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini adalah selaras dengan peranan PTPTN sebagai tabung pendidikan utama negara dan agensi yang sentiasa cakna dalam
menyantuni pelajar dan golongan yang memerlukan,” katanya lagi.
Hari Tabungan Sedunia atau World Savings Day diperkenalkan pada 31 Oktober 1924 yang diputuskan ketika Kongres Bank Simpanan Antarabangsa kali pertama di Milan, Itali.
Hari Tabungan Sedunia disambut untuk menggalakkan tabungan dan menyemai minat menabung dalam kalangan orang ramai seluruh dunia.
Ia kemudian diraikan untuk kali pertama pada 1925, seterusnya dijadikan acara tahunan pada setiap 31 Oktober.
Jika dilihat telah genap 96 tahun Hari Tabungan Sedunia ini disambut. Selaras dengan tema Hari Tabungan Sedunia tahun 2021 iaitu “Hold on to your financial future” jelas menunjukkan bahawa
penabungan dan budaya jimat cermat merupakan elemen penting dalam menentukan dan menjamin masa depan setiap individu.