Cubaan seludup 2 tan babi hutan ke Thailand tumpas - Utusan Malaysia

Cubaan seludup 2 tan babi hutan ke Thailand tumpas

ANTARA sebahagian karkas babi hutan yang dirampas sebelum sempat diseludup ke Thailand baru-baru ini. – Foto ihsan Perhilitan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Percubaan seorang lelaki cuba menyeludup karkas babi hutan di Kelantan baru-baru ini berjaya ditumpaskan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Timur.

 

Menurut kenyataan ibu pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di ibu negara semalam, ia melibatkan sejumlah 112 bahagian haiwan tersebut dengan berat sekitar dua tan dipercayai akan diseludup ke negara jiran.

 

Jenayah tersebut ujar Perhilitan, dipatahkan oleh Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia dari markas taktikal Batalion 7 dari Lubok Setol, Rantau Panjang di negeri itu dengan kesemua bangkai ditemui disorok secara padat di belakang sebuah van dan suspek lelaki berusia 37 tahun ditahan kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen penyimpanan sah.

 

“Pemandu kenderaan berketurunan Siam itu ditahan kerana berkelakuan agak mencurigakan setelah diekori pasukan tersebut di Kampung Degong, Pasir Mas pada lewat malam,” katanya.

 

Laporan kes berkenaan dibuat di Balai Polis Lubok Setol dan nilai barangan yang disita itu sekiranya berjaya dijual di pasaran Thailand dianggarkan boleh mencecah harga RM50,000.

 

Kenyataan itu menambah, karkas babi hutan tersebut kemudian dirampas sebelum dibawa ke pejabat Perhilitan Daerah Jeli, Kelantan untuk tindakan selanjutnya oleh pegawai agensi ini dan kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Orang ramai yang berminat menyimpan babi hutan perlu memiliki lesen dikeluarkan Perhilitan, manakala Orang Asli dibenarkan memburu untuk kegunaan sendiri tetapi tidak boleh dijual.

 

Babi jenis hidup liar yang terdapat di negara ini antaranya terdiri daripada babi hutan atau wild boar atau nama saintifik, Sus scrofa dan spesies itu dilindungi Jadual Pertama akta tersebut.

 

Sementara itu, satu lagi dikenali sebagai babi bodoh atau bearded pig atau nama saintifik, Sus barbatus dan spesies ini dilindungi sepenuhnya berdasarkan Jadual Kedua akta berkenaan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya