Coklat jadi pilihan pengunjung Pangkor - Utusan Malaysia

Coklat jadi pilihan pengunjung Pangkor

SUASANA pengunjung memilih coklat di sebuah kedai bebas cukai yang menjual coklat, minyak wangi dan perkakas dapur di Pulau Pangkor, Lumut, Perak, baru-baru ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Coklat import yang dijual pada harga murah menjadi pilihan pengunjung yang melancong ke pulau bebas cukai di Pulau Pangkor di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pulau yang sinonim dengan produk ikan bilis mata biru itu, selain coklat, pengunjung juga membeli minyak wangi dan perkakas dapur yang dijual dengan harga yang berpatutan.

Seorang pengunjung, Nor Jas Suraya Ahmad, 46, berkata, kini dia dan keluarganya tidak perlu pergi jauh sehingga ke Pulau Langkawi untuk membeli coklat.

Menurutnya, di Pulau Pangkor juga ada menjual coklat yang sama seperti di Langkawi.

“Tak perlu susah-susah lagi nak pergi hingga ke Langkawi, Pulau Pangkor pun ada coklat yang dijual pada harga yang sama dengan coklat di Langkawi,” katanya.

Nor Jas dan keluarganya yang bercuti tiga hari dua malam bersama berkata, malah ada sesetengah coklat di Pangkor yang lebih murah berbanding harga coklat di Langkawi.

Katanya, namun Langkawi menawarkan lebih banyak pilihan coklat.

“Baru-baru ini saya ke Langkawi dan mendapati ada coklat yang harganya RM23 di sana tetapi di sini coklat yang sama dijual dengan harga RM17 sahaja.

“Harga di sini sangat jauh berbeza dan memang patut membelinya di pulau ini,” katanya.

Pengunjung, Afrina Ahmad, 26, berkata, dia berkunjung ke Pangkor hanya untuk membeli coklat.

Katanya, ini merupakan kali kedua dia ke Pangkor dan terkejut kerana mendapati di Pangkor juga terdapat coklat yang dijual sama seperti di Langkawi.

“Jualan coklat di sini merupakan idea yang bagus kerana ia boleh menarik pelancong dari semua peringkat umur terutamanya selepas PKP ditamatkan dan orang ramai mula merentas negeri,” katanya.

Sementara itu, peniaga kedai bebas cukai dan kedai serbaneka di sini, Lee Beng Yee, 52, berkata, tarikan utama pelanggan ke kedainya adalah coklat.

Menurutnya, dia fokus kepada tiga produk penjualan iaitu minyak wangi, coklat dan perkakas dapur namun coklat paling mendapat sambutan daripada pengunjung.

“Semasa PKP, saya mengalami rugi besar tetapi kini penjualan coklat dan barangan bebas cukai yang lain meningkat sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan.

“Sewaktu PKP, kami terpaksa tutup kedai bebas cukai dan terpaksa bergantung kepada kedai serbaneka sahaja tetapi selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan, perniagaan dapat beroperasi seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, setiap coklat import mempunyai tarikh luput yang sangat singkat dan kini kedainya menjual produk coklat yang diimport pada Mei lalu.

“Coklat import mampu bertahan selama setahun sahaja, proses penghantaran juga mengambil masa hampir tiga bulan, tambahan PKP yang berkuatkuasa selama lima bulan memendekkan lagi jangka hayat coklat.

“Kini, kami sedang menghabiskan stok coklat yang diimport sejak Mei lalu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN