Bajet 2022: MEDAC tubuh jawatankuasa pastikan usahawan terima manfaat - Utusan Malaysia

Bajet 2022: MEDAC tubuh jawatankuasa pastikan usahawan terima manfaat

NOH Omar (dua dari kanan) melawat ruang pameran Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Karnival Usahawan dan Koperasi 2021 di Padang Astaka, Kuala Selangor, Selangor hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Peruntukan yang dikhaskan bagi usahawan dalam Belanjawan 2022 seperti diumumkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat Jumaat lalu akan dipastikan benar-benar sampai kepada golongan sasar.

Justeru, Kementerian Pembangunan Usahawan (MEDAC) yang bertanggungjawab mengagihkan peruntukan itu akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau pengagihannya.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut selaras dengan jawatankuasa pemantau  yang ditubuhkan Kementerian Kewangan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan belanjawan, semalam. 

“Jawatankuasa ini akan pastikan semua peruntukan yang diumumkan sampai kepada rakyat serta kumpulan yang telah ditetapkan.

“Saya tak mahu dengar keluhan rakyat tidak mendapat bantuan yang telah disediakan dan sekiranya perkara ini berlaku, mereka boleh buat aduan terus kepada kementerian atau pejabat saya,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Usahawan dan Koperasi 2021 di Padang Astaka, Tanjong Karang, di sini, hari ini.

Semalam, ketika di Dewan Rakyat, Tengku Zafrul memaklumkan jawatankuasa berkenaan berfungsi menyemak pelaksanaan semua bantuan yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 yang akan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Noh memaklumkan, Bajet 2022 menjadi bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan usahawan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 khususnya dalam usaha memulihkan kembali ekonomi dengan unjuran berkembang sehingga empat peratus tahun hadapan.

Perkara itu jelas dengan pengenalan Skim Pembayaran Informal dan Mikro di bawah Tabung Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) pinjaman sehingga RM10,000 dengan kadar faedah sifar peratus beserta moratorium selama sehingga setahun. 

“Di samping itu, kerajaan juga meneruskan Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) dengan memberi peruntukan sebanyak RM10 juta untuk program itu. 

“Ini dapat membantu 30 peratus daripada keseluruhan koperasi di seluruh negara yang terjejas terik ketika ini,” ujarnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya