GEORGETOWN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memastikan kebajikan pesara tentera terus terpelihara dan dijaga menerusi pelbagai bentuk bantuan serta sokongan yang boleh disalurkan.
Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, pihaknya akan sentiasa berhubung dengan kumpulan pesara bagi melihat bentuk bantuan dan sokongan yang diperlukan golongan berkenaan dan aspek itu juga menjadi keutamaan di peringkat Kementerian Pertahanan.
Ujarnya, beliau juga akan cuba sedaya-upaya membawa permohonan bantuan dan sokongan yang diperlukan oleh pesara-pesara ATM di Pulau Pinang ke peringkat lebih tinggi supaya dapat ditunaikan.
“Sebenarnya bantuan-bantuan itu tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan pengorbanan yang dilakukan perwira-perwira negara yang telah berkhidmat menabur bakti kepada negara ini.
“Malah, bantuan itu juga merupakan satu bentuk keunikan dalam ATM yang mana kita menjaga anggota kita sehingga ke liang lahad,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan bakul makanan secara pandu lalu kepada kira-kira 40 pesara ATM Daerah Timur Laut di Kem Tun Razak, Bayan Lepas, di sini hari ini.
Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 1,700 pesara ATM di seluruh Pulau Pinang ketika ini yang akan mendapat manfaat menerusi program Mindef Prihatin dan Bantu-Bantu Malaysia yang diperkenalkan sejak Julai lalu.
Program Mindef Prihatin merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan bagi membantu meringankan beban warga pertahanan khususnya mereka yang dikategorikan sebagai asnaf serta B40 yang terjejas dari segi pendapatan isi rumah akibat pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, seorang pesara tentera dari Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD), Mohd. Amer Salleh, 71, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas bantuan bakul makanan yang diterimanya hari ini.
Katanya, bantuan itu sedikit-sebanyak dapat meringankan beban dan mengurangkan kos perbelanjaannya apatah lagi dia kini juga merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) selepas perlu memakai kaki palsu.
“Saya sangat bertuah kerana ATM banyak menjaga soal kebajikan saya termasuk mendapatkan kaki palsu untuk memudahkan saya bergerak selepas saya kehilangan kaki kiri akibat terjatuh tahun lalu,” katanya yang berkhidmat bersama ATM selama 13 tahun. -UTUSAN ONLINE