LONDON: Seorang askar maut dalam satu kejadian mengerikan yang dipercayai melibatkan sebuah kereta kebal ketika menjalani latihan ketenteraan di Wiltshire.
Lapor Metro, anggota tentera berusia 23 tahun itu, Jethro Watson-Pickering meninggal dunia di tempat kejadian berhampiran Salisbury Plain, sebuah kemudahan latihan ketenteraan, pada Jumaat lalu.
Difahamkan, sebuah kereta kebal menggilis mangsa sehingga mengakibatkan anggota tentera itu mengalami cedera parah.
Ketika kejadian, kira-kira 12 anggota polis dari Wiltshire dan polis dari Tentera Pertahanan turut berada di kawasan tersebut.
Insiden itu turut disahkan oleh seorang jurucakap tentera.
Seorang jurucakap polis memberitahu pihaknya menjalankan siasatan berikutan kematian anggota tentera itu.
“Dia merupakan sebahagian kru yang mengendalikan kenderaan perisai dan mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan di Kawasan Latihan Salisbury Plain berhampiran perkampungan Enford.
“Kami mengucapkan takziah. Ingatan dan doa kami bersama keluarga dan rakan anggota tentera itu pada masa sukar ini,” katanya.
Dilaporkan, pasukan paramedik dari Hampshire dan Ambulans Udara Isle of Wight dibawa menerusi helikopter untuk menyelamatkan nyawa anggota tentera tersebut sebelum dia meninggal dunia.
Perkhidmatan Ambulans South Western juga menghantar beberapa kru serta dua jentera bomba dibawa dari Pewsey dan Ludgershall selain sebuah unit penyelamat dari Trowbidge dikerahkan.