PETALING JAYA: Cubaan 14 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia menyusup masuk ke negara ini menggunakan lorong tikus bagi mencari kerja berjaya dipatahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam kenyataannya menjelaskan, tangkapan dibuat di Tebedu dan Biawak di Lundu, Sarawak, semalam dan hari ini.
Dalam kejadian pertama pada kira-kira pukul 10 pagi semalam, dua lelaki berumur 39 dan 42 tahun cuba memasuki Tebedu dari arah Indonesia.
Kejadian kedua berlaku pada hari sama kira-kira pukul 5 petang di Biawak melibatkan tujuh lelaki berusia antara 19 hingga 52 tahun.
“Satu lagi penahanan melibatkan lima individu termasuk seorang wanita pada kira-kira pukul 11 pagi tadi di Biawak,” jelas kenyataan itu, hari ini.
Ketika ditahan, kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan cuba memasuki negara ini melalui lorong-lorong tikus di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia.
Hasil siasatan mendapati tujuan mereka adalah untuk mencari pekerjaan di Sarawak.
Laporan polis dibuat di balai polis berhampiran dan kesemua PATI yang ditahan telah diusir keluar pada hari sama. – UTUSAN ONLINE