1,235 graduan Darul Quran Jakim graduasi - Utusan Malaysia

1,235 graduan Darul Quran Jakim graduasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran Jakim ke-29 bertempat di Dewan Muktamar Darul Quran Jakim Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 16 Oktober ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, majlis akan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Beliau berkata, seramai 1,235 orang graduan daripada pelbagai program pengajian akan menyertai majlis berkenaan yang diadakan secara hibrid membabitkan dua kohort pengajian iaitu kohort 2020 dan 2021. 

“Majlis istiadat bagi kohort pelajar 2020 disekalikan bersama graduan kohort 2021 berikutan penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, pada majlis itu, 50 orang akan menerima sijil tamat pengajian daripada Program ljazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah Dengan Kepujian secara kerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Selain itu, katanya, 1,003 orang graduan pula daripada Program Diploma Tahfiz al-Quran & al-Qiraat; 130 orang graduan daripada Program Pensijilan Tahfiz al-Quran (program kolaborasi) dan seorang graduan Program Sijil Asas Tahfiz JAKIM-PSAS (Politeknik Sultan Azlan Shah).

Abdul Aziz berkata, graduan lain yang akan diraikan termasuk 11 orang graduan Program Sijil Asas Tahfiz bagi kategori muallaf, orang asli, pribumi Sabah/Sarawak dan orang kurang upata (OKU) penglihatan.

“Turut diraikan enam orang perantis Program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Bidang Pengurusan Masjid dan 34 orang perantis Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Bidang Pengurusan Masjid serta Bidang Pengurusan Tahfiz,” katanya.

Katanya, sehingga kini, Darul Quran Jakim berjaya melahirkan seramai 10,059 orang graduan huffaz sejak penubuhannya pada tahun 1966. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN