10 projek Residensi Keluarga Malaysia dibina di Putrajaya menjelang 2026 - Utusan Malaysia

10 projek Residensi Keluarga Malaysia dibina di Putrajaya menjelang 2026

MUHAMMAD Azmi Mohd. Zain (dua kanan) bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Apex Communications, Tan Sri Abdullah Ali (dua kiri) menunjukkan dokumen perjanjian pada Majlis Memeterai Perjanjian Pembangunan Projek Pembangunan Residensi Keluarga Malaysia Cengkih, di Kompleks PPj, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Sebanyak 10 projek perumahan mampu milik di bawah Residensi Keluarga Malaysia akan dibangunkan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini menjelang tahun 2026.

 

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain berkata, 10 buah tapak pembangunan sudah dikenal pasti masing-masing di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19.

 

Beliau berkata, selaras pengumuman Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum ini, lebih 10,000 unit kediaman ditawarkan menerusi 10 projek kediaman itu.

 

“Kami berharap Residensi Keluarga Malaysia ini akan dapat mengatasi isu kesukaran pemilikan rumah di Putrajaya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Memeterai Perjanjian Pembangunan Projek Pembangunan Residensi Keluarga Malaysia Cengkih, di Kompleks PPj, di sini hari ini.

 

Muhammad Azmi berkata, projek berkenaan yang dibangunkan Apex Communications Sdn. Bhd. itu adalah kediaman mampu milik pertama dibina di Putrajaya di bawah Residensi Keluarga Malaysia.

 

Menurutnya, projek pembangunan itu akan dibangunkan di Presint 16 yang menawarkan 724 unit kediaman dengan keluasan 750 kaki persegi.

 

“Kediaman itu ditawarkan pada harga jualan tidak melebihi RM20,000 yang mana, 50 peratus daripada unit kediaman diperuntukkan kepada kuota bumiputera dari kumpulan B40,” katanya.

 

Katanya, projek kediaman itu sudah mendapat proses kelulusan Kebenaran Merancang (KMPB) dan Kelulusan Mendirikan Bangunan (MB) untuk dimulakan bulan depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

 

“Projek kediaman ini dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk surau, dewan serbaguna, tadika, taska, bilik bacaan, bilik komputer, ruang niaga, gelanggang badminton, taman permainan kanak-kanak dan trek joging,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya