Wujudkan sistem pengurusan ketenteraan seragam - Utusan Malaysia

Wujudkan sistem pengurusan ketenteraan seragam

Antara demontrasi pesawat tempur yang terlibat dalam Eksesais Ababil 2021 di Lapang Sasar Udara, Kota Belud hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BELUD: Sistem pengurusan di peringkat strategik dan operasi perlu diseragamkan dengan sokongan teknologi terkini bagi meningkatkan kebolehoperasian dan tahap kompetensi aset ketenteraan di negara ini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, usaha ini amat penting dalam memastikan keperluan untuk operasi udara, keperluan latihan dan kontingensi dapat dipenuhi selaras dengan perkembangan teknologi dan maklumat yang terkini.

AFFENDI BUANG

Beliau berkata demikian semasa penutupan latihan Eksesais Ababil 2021 di Lapang Sasar Udara dekat sini hari ini.

Katanya, dalam demonstrasi latihan itu, seramai 446 anak-anak kapal dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk dari Pasukan Khas Udara TUDM (PASKAU) serta membabitkan pesawat-pesawat TUDM.

Antaranya pesawat tempur- F/A-18D Hornet, Sukhoi SU-30MKM dan Hawk 208; pesawat angkut – Hercules C130H; pesawat maritim-Beechcraft B200T dan pesawat helikopter- EC 725 AP.

“Pelaksanaan demonstrasi latihan penembakan udara ke permukaan bumi pada hari ini menjadi satu platform yang mengintegrasikan operasi pelbagai aset tempur milik TUDM termasuk elemen logistik tempur di dalam menjayakan sesuatu operasi udara.

“Demonstrasi penembakan udara ke permukaan bumi ini juga menyaksikan pesawat pejuang TUDM membuat penembakan ke sasaran yang dikenal pasti,” katanya.

Eksesais ini membabitkan beberapa siri latihan penembakan misil udara ke udara dan penembakan misil udara ke permukaan yang bermula pada 7 hingga 10 September lalu di Pangkalan Udara Labuan, Lapang Sasar Udara Kota Belud dan kawasan perairan Laut China Selatan.

Bagi demonstrasi latihan penembakan udara ke permukaan bumi pada hari ini juga sebahagian daripada aktiviti eksesais Ababil.

Katanya, antara objektif eksesais ini adalah untuk menguji keupayaan persenjataan aset-aset tempur milik TUDM di dalam pelaksanaan operasi udara serta meningkatkan kompetensi aset sumber manusia TUDM khususnya juruterbang dan anak-anak kapal, PASKAU dan elemen logistik tempur secara bersepadu.

Affendi berkata, pelaksanaan eksesais sebegini juga penting untuk mempamerkan keupayaan kuasa udara TUDM dalam menjaga kedaulatan tanah air dan kepentingan nasional serta mempertingkatkan keyakinan kepada rakyat di wilayah Malaysia Timur terhadap keselamatan dan pertahanan ruang angkasa negara.

Tambah beliau, penembakan kesemua aset-aset persenjataan ini yang mengenai sasaran jelas membuktikan tahap profesionalisme, kepakaran, keupayaan dan kesiagaan warga dan aset-aset tempur TUDM dalam misi dan operasi pertahanan negara.

Turut hadir ialah Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad; dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Datuk Mohammad Ad Rahman.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN