TANJONG KARANG: Seorang wanita melecur selepas rumah didiaminya musnah terbakar di Jalan Parit 3, Sungai Burung di sini, malam tadi.
Kebakaran itu menyebabkan mangsa berusia lingkungan 50-an cedera di lengan kanan dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.46 petang.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Sekinchan serta Sungai Besar dikerah dalam operasi berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah rumah kampung satu tingkat.
“Kerja pemadaman segera dilakukan dan kemusnahan rumah berkenaan dianggarkan sebanyak 60 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Norazam, ketika kejadian, wanita yang menghuni rumah itu berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan bomba.
“Wanita berkenaan dikatakan terselamat dan bertindak keluar sebelum api lebih marak.
“Mangsa yang melecur kemudian dibawa orang awam ke Hospital Tanjong Karang untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Tambah beliau, kebakaran berjaya dikawal pihaknya pada pukul 8.09 malam dan tiada kemalangan jiwa lain dilaporkan berlaku
“Punca sebenar ejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE