CYBERJAYA: Seorang wanita berusia 30-an ditemukan mati dipercayai bunuh diri setelah terjun dari tingkat 30 sebuah kondominium di sini malam tadi.
Wanita berkenaan yang difahamkan penyewa di sebuah kediaman di kondominium tersebut dikatakan naik ke tingkat paling atas sebelum terjun dari bangunan terbabit.
Seorang pengawal keselamatan yang ditemui berkata, pada pukul 11 malam tadi agak mengejutkan selepas hampir sedekad kediaman itu didiami penduduk.
Difahamkan majoriti penghuni situ warga Arab dan juga pelajar tempatan serta warga asing.
“Biasanya kalau ada kejadian di sini hanya berkaitan kes mabuk tetapi terjun (bunuh diri), lagi-lagi membabitkan mangsa wanita memang mengejutkan.
“Kami pun tidak tahu apa puncanya dan pengurusan sudah menyerahkan kes ini kepada pihak polis,” jelasnya.
Tinjauan di lokasi berkenaan mendapati aktiviti serta pergerakan keluar masuk kenderaan sama ada penyewa mahupun penghuni tenang dan berjalan seperti biasa.
Difahamkan, kediaman kondominium mewah itu memiliki 10 blok dengan 2,222 unit rumah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan kejadian itu.
“Kes masih dalam siasatan dan butiran lanjut akan diberikan dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN ONLINE