Wakil rakyat perlu fasih bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Wakil rakyat perlu fasih bahasa Melayu

DR. AWANG SARIYAN dan ABANG SALLEHUDDIN ABG SHOKERAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kepentingan kesantunan bahasa terhadap institusi Parlimen perlu dititiberatkan, malah wakil-wakil rakyat perlu menunjukkan teladan yang mudah melalui berbahasa.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, institusi Parlimen merupakan satu dewan yang mulia sebagai badan penggubal undang-undang melalui prinsip rukun negara iaitu keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata, penggubal undang-undang yang tidak mengangkat prinsip itu menunjukkan mereka tidak berkelayakan kerana seharusnya dipelopori oleh orang yang matang dan mempunyai pemikiran yang tajam tanpa mengikut perasaan.

Kata beliau, apabila perkara itu tidak berlaku, maka rakyat mula memandang rendah terhadap institusi Parlimen kerana mereka yang menggubal undang-undang itu sendiri tidak menghormatinya dan bertingkah laku seperti bukan wakil rakyat.

“Oleh itu, peraturan penggunaan bahasa kebangsaan dalam Parlimen hendaklah dikuatkuasakan setegas-tegasnya oleh Speaker Dewan terutamanya di Dewan Rakyat.

“Penguat kuasaan bahasa juga perlu diletakkan sebagai syarat atau kriteria oleh pimpinan tertinggi dalam mana-mana pemilihan calon untuk pilihan raya.

“Maka calon yang mewakili parti tertentu itu adalah calon yang sebenarnya berhemah dan santun dari segi bahasanya kerana kesopanan dan kesusilaan prinsip negara bagai hancur apabila ada wakil rakyat menggunakan bahasa yang sangat kesal dan buruk dalam percakapan atau perbahasan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perlunya kefasihan berbahasa Melayu diambil kira untuk pemilihan calon dalam mana-mana parti politik.

Menurut Dr. Awang, penggunaan bahasa Melayu juga bukan sekadar bahasa pasar atau pertuturan, tetapi bahasa Kebangsaan yang menggambarkan bahasa jiwa bangsa.

“Bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman pernah mengatakan bahasa Kebangsaan ibarat jiwa bagi jasad, maka tanpa bahasa kebangsaan seolah-olah negara jasad tanpa jiwa,” katanya.

Tambah beliau, penguasaan bahasa Melayu yang baik dan santun lebih penting kerana kesantunan bahasa atau sopanan bahasa lebih utama selain berbanding soal tatabahasanya.

Beliau berkata, hal berkenaan sudah menjadi satu fenomena yang menjelikkan apabila sebahagian wakil rakyat dalam perbahasan Parlimen tidak dapat mengawal perasaan menggunakan perkataan yang kasar, keras dan mencerca.

“Perkara ini perlu ditegaskan kerana melambangkan jati diri dan maruah negara yang terkenal dengan sopan santun berbudi bahasa, maka penguat kuasaan tidak boleh diambil mudah sewenang-wenangnya,” katanya.

“Jika zaman dulu, (bekas ahli Parlimen) Hashim Gera terkenal dengan membidas lawan menggunakan pantun, tetapi pantunnya baik, sampai dan tidak melukakan hati pihak yang tidak ditegur, maka itu cara kita berbahasa.

“Namun sekarang bukan sahaja tidak ada pantun, bahasa yang biasa  juga tidak dikawal dan tentulah timbul rasa luka sakit hati orang yang menerima, ini juga tidak menggambarkan tamadun yang tinggi kerana di zaman moden, pemikiran tamadun kita seakan-akan surut dan terbelakang,” katanya.

Senada dengan beliau, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran berkata, sebagai pemimpin yang patut memberi contoh kepada rakyat, mereka sepatutnya fasih berbahasa Melayu dan berbahasa Kebangsaan.

Beliau berkata, mereka seharusnya menjadi contoh dalam memberi mesej kepada rakyat tentang perlunya semua pihak mempertahankan perlembagaan.

“Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ada dalam perlembagaan dan peraturan rasmi yang lain, jika pemimpin tidak menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat, maka apa yang boleh kita harapkan kepada mereka,” katanya.

Tambah Abang Sallehuddin, pemimpin perlu menunjukkan teladan yang mudah dahulu iaitu melalui berbahasa kerana pelbagai cara boleh berbahasa iaitu berbahasa dengan baik dan sopan.

“Dalam mana-mana budaya pun ada kesopanan dalam berbahasa. Itu juga yang terdapat dalam rukun kesopanan dan kesusilaan.

“Apabila kita selalu meminta orang muda untuk menghayati rukun negara dan menjunjung perlembagaan, jadi mereka sebagai pemimpin sepatutnya menunjukkan contoh kepada rakyat.

“Kita tidak meminta sesuatu yang sukar, berbahasa bukan sukar bagi warganegara, jika mereka boleh belajar bahasa Inggeris atau bahasa lain, kenapa tidak bahasa negaranya,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya