PORT DICKSON: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan akan menyiasat kesahihan video yang tular dalam media sosial berkenaan lokasi buaya bersaiz besar yang didakwa di muara Sungai Linggi.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, buat masa ini, pihaknya masih belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung penemuan buaya berkenaan.
Bagaimanapun, menurutnya, lokasi sungai berkenaan sememangnya merupakan habitat bagi buaya tersebut dan ia bukanlah sesuatu yang di luar kebiasaan.
RAKAMAN video tular seekor buaya bersaiz besar yang bersidang di tebing sungai yang dipercayai di muara Sungai Linggi. -IHSAN MEDIA SOSIAL
“Buat masa ini, kami tidak pernah terima aduan, ini berikutan terserempak dengan buaya atau ternampak buaya bersidai di sungai berkenaan adalah perkara biasa buat penduduk setempat.
“Berdasarkan kajian pihak Perhilitan, buaya yang terdapat di Sungai Linggi merupakan buaya jenis tembaga,” katanya hari ini.
Wan Mat berkata, buat masa ini, pihaknya masih belum mempunyai data saiz buaya terbesar yang pernah ditemui di Sungai Linggi.
“Namun begitu, saiz buaya sentiasa membesar dan tiada had serta anggaran umur seekor buaya juga boleh mencapai hingga ke usia 50 tahun,” katanya.
“Walau apa pun orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati sekiranya berada di habitat buaya.
Terdahulu, tular menerusi platform TikTok apabila individu memuat naik video berdurasi 17 saat membabitkan rakaman seekor buaya yang bersidai di tebing sungai berkenaan. -UTUSAN ONLINE