Ungka lahir anak kembar di Zoo Melaka, kes pertama di Asia - Utusan Malaysia

Ungka lahir anak kembar di Zoo Melaka, kes pertama di Asia

KAMEL Mohamad (kiri) menunjukkan lokasi ungka tangan putih melahirkan anak kembar pertama di Asia sambil diperhatikan Shadan Othman di Zoo Melaka, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Zoo Melaka melakar sejarah sebagai zoo pertama di Asia merekodkan ungka tangan putih (white handed gibbon) yang melahirkan anak kembar pada bulan lalu, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman.

 

Menurutnya, perkara itu turut disahkan pakar dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Badrul Munir Md. Zain yang turut hadir melihat spesies berkenaan.

 

Shadan berkata, ungka tersebut bakal menjadi tarikan utama apabila Zoo Melaka dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi.

 

“Saya telah dimaklumkan, ungka beranak kembar tidak pernah berlaku di mana-mana zoo di Asia. Hanya Zoo Melaka yang pertama merekodkan catatan sejarah ini. 

 

“Bagi saya, ini adalah satu keunikan apabila mendapat tahu ungka tangan putih yang melahirkan anak kembar adalah yang pertama berlaku di Asia.

 

“Saya yakin ini adalah tarikan baharu untuk menarik minat orang ramai melawat Zoo Melaka selepas hampir sepuluh bulan tidak beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh,” katanya dalam sidang akhbar khas di Zoo Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini.

 

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamad meninjau persediaan Zoo Melaka yang akan dibuka kepada pengunjung tidak lama lagi.

 

Sementara itu, Badrul Munir ketika ditemui berkata, kelahiran sedemikian adalah kes yang jarang berlaku bukan hanya di Asia, malah dunia.

 

Menurutnya, berdasarkan penerbitan secara saintifik sekitar tahun 1990, ia ada mencatatkan kelahiran anak kembar spesies primat berlaku di Zurich, Switzerland dan Berlin, Jerman, namun melibatkan siamang.

 

“Dalam dunia primat, kes ungka lahir anak kembar jarang berlaku. Ini bermakna Zoo Melaka melakar sejarah tersendiri dan ini sangat mengujakan khususnya saya selaku pengkaji haiwan primat,” katanya.

 

Sementara itu, Shadan ketika ditanya mengenai pembukaan zoo berkata, MPHTJ masih menunggu keputusan kerajaan negeri menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19, sama ada mendapat kebenaran dibuka khusus kepada penduduk tempatan bermula 1 Oktober ini.

 

“Kami telah bersedia, walau apapun keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan negeri. Pada ketika ini Zoo Melaka dengan 96 kakitangan telah bersiap sedia untuk menanti pembukaan itu nanti,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya