KUALA TERENGGANU: Seorang tukang bot ditemukan mati lemas di kawasan limbungan kapal di Pulau Ketam di sini hari ini selepas kira-kira empat jam hilang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, mangsa, Izman Mohamad, 44, dikatakan terlibat dalam kerja-kerja menurunkan bot yang siap dibaiki ke sungai bersama empat individu lain termasuk anaknya.
Adik mangsa, Juhan Mohamad, 32, berkata, kehilangan mangsa disedari apabila dia tidak muncul di kawasan jeti selepas selesai tugasan itu.
“Semasa bot ditarik keluar, abang masih di kawasan sungai yang separas pinggang dan apabila kami datang semula ke kawasan jeti, dia tiada di situ.
“Kami menyangka dia sudah pulang rumah, namun, hakikatnya tidak dan usaha pencarian dijalankan keluarga serta rakan-rakan sebelum mayatnya ditemukan pada pukul 8 pagi ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mayat mangsa kemudian di bawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut. -UTUSAN ONLINE