Tujuh mangsa termasuk bayi terperangkap dalam lif - Utusan Malaysia

Tujuh mangsa termasuk bayi terperangkap dalam lif

SEORANG mangsa bersama bayi yang diselamatkan selepas terperangkap dalam lif di Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar semalam. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Kedah mengesahkan kejadian tujuh mangsa termasuk  bayi terperangkap dalam lif di Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar di sini semalam.

Pengarahnya, Dr. Othman Warijo berkata, pihaknya menjalankan siasatan awal dan mendapati kejadian berlaku akibat kerosakan teknikal pada lif terbabit.

Menurutnya, kejadian itu berlaku lebih kurang pukul 9.05 pagi dan tujuh mangsa itu  terdiri tiga perempuan, tiga bayi dan seorang lelaki  terperangkap di dalam lif berkenaan.

DR. OTHMAN WARIJO

“Siasatan awal mendapati berlaku masalah teknikal kepada sistem lif tersebut, “ katanya dalam kenyataan  di sini hari ini.

Sementara itu, gambar kejadian mangsa terperangkap dalam lif di klinik kesihatan itu telah tular di media sosial sejak semalam.

Beliau memberitahu,  kejadian itu disedari oleh pengawal keselamatan yang bertugas setelah penggera keselamatan lif berbunyi. 

Tambahnya, pengawal keselamatan tersebut terus mendekati pintu lif dan mendapati ada mangsa yang terperangkap di dalam lif. 

“Dia berkomunikasi dengan mangsa yang terperangkap bagi mengenal pasti keadaan mangsa dan meminta mangsa bertenang sebelum bantuan tiba. 

“Pihak klinik membuat aduan segera kepada pihak syarikat konsesi penyelenggaraan yang dilantik. 

“Pada lebih kurang pukul 9.12 pagi, pihak syarikat konsesi penyelenggaraan mendapat aduan dan juruteknik bertugas terus menghubungi syarikat lif berkompeten yang dilantik dan terus bergegas ke tempat kejadian,” katanya.

Jelas beliau, pihak juruteknik syarikat lif berkompeten dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)  tiba pada masa yang sama lebih kurang pukul 9.23 pagi. 

“Maklumat mendapati salah seorang mangsa yang terperangkap juga menghubungi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

“Pada lebih kurang pukul 9.33 pagi, pintu lif berjaya dibuka dan semua mangsa selamat dikeluarkan,” katanya.

Katanya, terdapat seorang mangsa berada dalam keadaan cemas dan bantuan diberikan oleh pegawai perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar. 

“Mangsa kembali stabil dan dibenarkan pulang. Pada pukul  10.30 pagi, semua pihak bersurai.

“Jabatan ini memohon maaf atas insiden yang berlaku dan akan melakukan siasatan terperinci berkaitan isu berbangkit. 

“Pada masa kini, lif tersebut dihentikan penggunaan serta merta sehingga siasatan teknikal selesai serta disahkan selamat digunakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya