Peruntukan RM400 bilion jumlah terbesar pernah diusulkan dalam RMK - Utusan Malaysia

Peruntukan RM400 bilion jumlah terbesar pernah diusulkan dalam RMK

MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Peruntukan perbelanjaan pembangunan RM400 bilion untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah jumlah terbesar pernah diusulkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peruntukan tersebut kebanyakannya akan digunakan untuk projek sambungan serta memulihkan beberapa institusi.

“Justeru, dari segi peruntukan (yang diusulkan, jumlahnya) memang besar. Kebanyakan daripada jumlah itu akan digunakan untuk (perbelanjaan) projek-projek sambungan.

“Kita turut memasukkan beberapa perkara dalam pembangunan itu, termasuk bagi membantu memulihkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Tabung Haji.

“Oleh itu, sebahagian daripada RM400 bilion itu adalah untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh beberapa agensi kerajaan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Untuk rekod, RMK11 sebelum ini merangkumi peruntukan sebanyak RM260 bilion dengan kira-kira RM248 bilion telah dibelanjakan.

Mengulas lanjut, Mustapa turut memaklumkan yang pihaknya akan mengadakan pertemua dengan ketua-ketua setiausaha semua kementerian untuk menjelaskan mengenai pelaksanaan RMK12.

“Setiap perenggan RMK12 yang dibentangkan oleh perdana menteri hari ini memerlukan banyak tindakan. Ini termasuk menginstitusikan pertubuhan masyarakat sivil (CSO), pelan pemulihan Felda dan membasmi kemiskinan tegar.

“EPU akan menentukan (kementerian) yang akan melaksanakan setiap perancangan yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa turut berkata, sukuk bernilai RM9.9 bilion akan diterbitkan Felda dalam masa terdekat bagi menyelesaikan hutang dan pengambilalihan saham-saham FGV Holdings Bhd.

“Felda sudah berjaya tetapi kita berasakan dengan pelaburan besar kerajaan untuk memajukan Felda, ia perlu mencapai kejayaan lebih besar lagi.

“Oleh itu, kita berpendapat, satu kaedah baharu perlu ada untuk memajukan Felda yang masih mempunyai aset seperti kawasan, tanah-tanah dan lot komersial yang belum dibangunkan. Kita mahu melihat Felda dapat ditransformasikan supaya mampu menjadi contoh,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya