JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan satu ‘Special Task Force Covid-19’ ditubuhkan di negeri ini.
Tunku Ismail berkata, jawatan kuasa khas itu akan terdiri daripada beberapa agensi kerajaan dan pihak berkaitan.
Katanya, jawatan kuasa khas tersebut akan diketuai sendiri olehnya bagi memantau dan menambah baik pengurusan pandemik Covid-19 di Johor.
“Penyertaan jawatan kuasa khas berkenaan turut melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), kerajaan negeri dan pakar-pakar profesional.
“Saya telah mengadakan perjumpaan hari ini bersama Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Dr. Dhesi Baha Raja.
“Hasil daripada perjumpaan ini, saya telah menitahkan agar ditubuhkan jawatan kuasa khas berkenaan,” ujar Tunku Ismail dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi di sini hari ini.
Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor. -UTUSAN ONLINE