PETALING JAYA : Tindakan kerajaan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menetapkan anak dilahirkan oleh wanita Malaysia di luar negara berhak mendapatkan mendapat kerakyatan mencerminkan kegagalan kerajaan memahami hak kaum wanita dan kanak-kanak.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh justeru meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar segera mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menarik balik keputusan mengemukakan rayuan dan memastikan Kementerian Dalam Negeri menghormati serta melaksanakan keputusan mahkamah itu.
“Episod ini sahaja sudah cukup menggambarkan terdapat begitu banyak keputusan yang tidak konsisten dalam Kabinet dan kelemahan yang paling ketara adalah kegagalan kerajaan ini dalam melindungi wanita dan kanak-kanak.
“Konsep keluarga besar Malaysia Perdana Menteri kini sedang diuji dan tercemar dengan keputusan yang tidak masuk akal oleh Peguam Negara sehingga menimbulkan kekecewaan kepada ramai ibu dan keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, kerajaan menerusi Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada minggu lalu bahawa wanita rakyat Malaysia boleh memberikan kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir, melalui penghakimannya memutuskan perkataan ‘bapa’ dalam Jadual kedua Perlembagaan mesti bermaksud dan merangkumi ibu selepas membenarkan saman pemula difailkan bagi menuntut perisytiharan yang anak wanita warga Malaysia tetapi berkahwin dengan rakyat asing, secara automatik layak memperoleh kewarganegaraan walaupun anak itu dilahirkan di luar negara.
Melalui saman pemula difailkan 18 Disember tahun lalu, Association of Family Support and Welfare Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam ibu rakyat Malaysia selaku plaintif menamakan kerajaan sebagai defendan tunggal.
Mereka memohon beberapa perisytiharan antaranya Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua Bahagian II Perlembagaan dibaca bersama Perkara 8(2) dengan memasukkan sekali perkataan ibu sebagai syarat bagi kanak-kanak dilahirkan di luar negara diberi taraf kerakyatan secara automatik.
Dalam pada itu, Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanah Air, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim melahirkan kebimbangan sekiranya asas rayuan memberi kesan kepada keselamatan negara apabila wujud dua kewarganegaraan yang akan diperoleh oleh kanak-kanak tersebut.
Katanya, perkara sama juga perlu dirisaukan terhadap kebenaran diberi kepada kaum bapa yang telah diberi hak automatik untuk mendapat kerakyatan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara dari perkahwinan dengan warga asing.
“Segala kerisauan ini perlu diatasi melalui kuatkuasa undang-undang dan bukannya dengan cara mendiskriminasi wanita,” katanya.
Katanya, malah tindakan memfailkan notis rayuan itu amat dikesali apabila berlaku diskriminasi terhadap kaum wanita di negara ini masih berlaku sekaligus meletakkan golongan wanita sebagai warga kelas kedua berbanding dengan kaum lelaki. -UTUSAN ONLINE