JERANTUT: Pusat peranginan hutan tropika Taman Negara Kuala Tahan daerah ini cuma dilawati sejumlah kecil pelawat domestik berasaskan tempahan bilik penginapan untuk lawatan hujung minggu ini di beberapa pusat inap desa milik penduduk dan swasta di Kuala Tahan dekat sini.
Kekurangan pelawat ke taman itu berikutan senario Covid-19 masih belum reda dan kemungkinan mengambil sikap waspada kerana Kuala Tahan baharu tamat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 21 Ogos lalu.
Utusan Malaysia dimaklumkan, sehingga kini, hanya kira-kira dua peratus pelawat yang telah membuat tempahan bilik penginapan di pusat inap desa milik pengusaha tempatan dan swasta untuk tempoh lawatan pada minggu depan.
Ketua Kampung Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman berkata, biarpun jumlahnya pengunjung belum ramai, namun ia perkembangan awal pemulihan sektor pelancongan dan hospitaliti di pusat peranginan itu.
Katanya, ia juga memandangkan kawasan berkenaan baharu tamat tempoh PKPD dan masih terdapat laporan ada gejala dan kontak rapat segelintir penduduk kampung berdekatan.
“Lagipun, program suntikan vaksin Covid-19 untuk melengkapi dua dos masih disambung selepas PKPD melibatkan lebih 100 orang penduduk termasuk sebilangan penggiat dan pengusaha pelancongan di sini bagi melengkapkan seramai 1,079 orang memperoleh vaksin penuh sebelum ini.
“Namun, saya yakin dalam masa terdekat, gelembung pelancongan di sini akan pulih dan rancak semula mulai pertengahan bulan ini dan kami masih menunggu kebenaran pihak Pengurusan Taman Negara bagi kemudahan pelawat berekreasi berasaskan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu,” katanya di Kuala Tahan di sini semalam.
Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Sabri Abdullah pula berkata, sehingga kini, sudah ada tempahan bilik di pusat inap pengusaha tempatan dan chalet milik swasta dalam kalangan pelawat domestik.
“Saya difahamkan sebanyak dua peratus sahaja pelawat yang membuat tempahan berkenaan untuk mengunjungi pusat peranginan ini mulai cuti hujung minggu depan.
“Kita berharap senario wabak Covid-19 beransur reda selain keseluruhan penggiat dan pengusaha di sini telah menerima dos lengkap minggu ini dan yakin sektor ini mampu memberikan sedikit pendapatan kepada kami sebelum berlabuhnya musim pejur bermula
pada bulan November ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bird Group Taman Negara, Roslan Abu Kassim berkata, dia yakin prospek ekopelancongan di taman itu kembali pulih setelah menyepi hampir dua tahun.
“Kita masih mengharapkan sektor ini bangun kembali kerana rata-rata penduduk di sini menjadikan pelancongan sebagai sumber pendapatan.
“Sekiranya direalisasikan menerusi kebenaran pihak Pengurusan Taman Negara dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menjalankan aktiviti di kawasan hutan tropika di sini, kita tetap mengutamakan SOP dan amalan norma baharu ketika mengendalikan lawatan pelawat ke sini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE