Susu masam Abdullah masih laris - Utusan Malaysia

Susu masam Abdullah masih laris

SUSU masam atau yogurt kampung yang dihasilkan Abdullah menerusi kaedah peraman susu kerbau dalam buluh ketika ditemui di Kampung Kuala Kejir di Hulu Terengganu, semalam. - NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Inisiatif seorang penternak kerbau meneruskan semula penghasilan susu masam atau yogurt kampung yang ditinggalkan sejak 17 tahun lalu, mendapat sambutan ramai sekali gus memberi limpahan rezeki buatnya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abdullah Ali, 56, berkata, hidangan tradisi masyarakat Terengganu yang makin dipinggirkan itu masih menjadi buruan orang-orang lama, di samping turut menarik minat generasi muda.

Katanya, sepanjang tiga bulan memasarkan yogurt kampung yang diperbuat daripada peraman susu kerbau dalam buluh itu, pendapatan yang diraih sudah melebihi RM3,000.

“Pembuatan susu masam ini diwarisi daripada arwah ayah, tetapi sejak ibu kerbau dicuri pada tahun 2004, saya hilang semangat untuk meneruskan jualan makanan itu dan hanya menumpukan kepada ternakan sahaja.

“Setakat ini jualan dibuat di rumah dan saya tidak sangka susu masam masih mendapat permintaan termasuk dalam kalangan generasi muda yang sebelum ini tidak pernah tahu mengenainya ” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Kejir di sini, semalam.

Abdullah berkata, susu masam lazimnya dihidang dengan gula atau dicicah bersama budu sebagai lauk bagi nasi dengan rasanya yang sedikit masam.

Ujarnya, hingga kini sebanyak 500 batang susu masam laris dijual pada harga antara RM8 hingga RM12 bergantung kepada saiz buluh.

Katanya, proses pembuatan yogurt kampung bermula seawal pukul 7 pagi dengan memerah susu kerbau sapi miliknya yang mampu mengeluarkan sehingga dua liter susu segar dalam sehari.

Menurutnya, penghasilan hidangan itu mudah kerana hanya menggunakan dua bahan sahaja iaitu susu segar dan buluh, namun semua peralatan yang digunakan termasuk tangan perlu bersih serta kering bagi memastikan susu masam beku.

“Pembuatan susu masam ada pantang larangnya iaitu tidak boleh bercampur air dan selepas diperah ia perlu terus dimasukkan ke dalam buluh sebelum ditutup dengan plastik bagi proses peraman hingga tiga malam dengan cara digantung pada suhu bilik,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya