Suri rumah didenda RM12,000 sebar video tidak benar berkaitan vaksin - Utusan Malaysia

Suri rumah didenda RM12,000 sebar video tidak benar berkaitan vaksin

TENGKU Noor Azilin Wa Kembang Tengku Azizan, hadir di Mahkamah Sesyen Jenayah 4 (Siber) di ibu negara, hari ini.-UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah didenda RM12,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebarkan video tidak benar berkaitan vaksin, Mei lalu.

Hakim M. M Edwin Paramjothy mendenda Tengku Noor Azlin Wa Kembang Tengku Azizan, 46, selepas wanita itu selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Wanita tersebut boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan jika gagal membayarnya. Denda itu kemudian dijelaskan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, mahkamah berpuas hati bahawa kesalahan yang dilakukan OKS berkemungkinan mendatangkan kebimbangan kepada orang awam sekaligus membantutkan usaha kerajaan memerangi pandemik.

“Tempoh masa kesalahan yang dilakukan adalah ketika kerajaan bertungkus-lumus menjalankan program vaksinasi secara menyeluruh untuk membasmi penularan wabak Covid-19, ” kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, Tengku Noor Azlin didakwa menyebarkan berita tidak benar melalui satu hantaran video yang bertajuk ‘Siapa yang dah  daftar! Lelaki ini bongkar bahayanya vaksin Covid-19? dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam.

Suri rumah itu didakwa berbuat demikian melalui perkhidmatan Facebook menggunakan nama profil ‘Kak Siti Wakembang’.

Hantaran itu dibuat pada 25 Mei lalu pukul 11.44 malam yang kemudian dibaca pada 3 Jun lalu pukul 8.30 pagi di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (kuasa-kuasa perlu)(No.2 ) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu OKS yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan hukuman dengan alasan tidak bekerja dan hanya seorang suri rumah.

“Saya mengaku bersalah dalam kes ini. Niat saya bukan untuk menularkan (video) sebaliknya untuk sahabat saya komen dan pendapat mereka dengan video itu,” katanya.

Bagaimanapun Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap OKS kerana perbuatannya boleh mendatangkan kebimbangan tatkala negara masih lagi berperang dengan Covid-19.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN