Suami lega isteri sarat hamil, empat anak kecil terselamat daripada kebakaran - Utusan Malaysia

Suami lega isteri sarat hamil, empat anak kecil terselamat daripada kebakaran

ZULHAIRI Mansor (kiri) ketika menerima kunjungan Jamaludin A. Hamid yang meninjau kesan kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat yang berlaku kelmarin di Taman Sri Mewah, Simpang Renggam di Kluang, Johor. -UTUSAN/NUR NABILAH RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang lelaki bersyukur selepas isteri yang sarat mengandung tujuh bulan dan empat anak lain yang masih kecil terselamat daripada kejadian kebakaran di Taman Sri Mewah, Simpang Renggam di sini kira-kira 9.40 pagi kelmarin.

 

Zulhairi Mansor, 36, berkata, ketika kejadian, dia sedang berada di luar untuk membeli sarapan sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon isterinya, Intan Faizah M. Nor, 36, yang cemas memberitahu rumah mereka terbakar.

 

“Ketika kejadian, isteri sedang memandikan anak di bilik air, sebaik selesai dan membuka pintu, dia terlihat kepulan asap keluar dari bawah pintu yang tertutup di bilik ketiga berdekatan ruang dapur.

 

“Isteri terus bergegas memanggil semua anak dan risau kerana seorang lagi iaitu Muhamad Iffat Irsyad yang berusia lima tahun tidak menyahut dan mujur selepas keadaan kecoh, dia turun dari loteng yang dijadikan bilik.

 

“Dia terus menyuruh semua anak berusia dari 10 hingga tiga tahun keluar sambil dia mengambil tong pemadam api, tetapi kerana cemas dan ketakutan, dia tak mampu nak membukanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

 

Pegawai Daerah Kluang, Jamaludin A. Hamid bersama Amil Baitulmal Daerah Kluang, Al Azhar Ahmad Fazil dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Mohd. Shazuwan Husnan Che Hamid turut berkunjung ke kediaman keluarga itu.

 

Kelmarin, akhbar melaporkan lima beranak terselamat daripada kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dua tingkat dipercayai bermula daripada salah sebuah bilik di dalam rumah berkenaan.

 

Sebuah jentera LFRT dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Renggam dibantu BBP Ayer Hitam bersama sebuah jentera FRT dengan kekuatan keseluruhan seramai 12 anggota telah dihantar ke tempat kejadian.

 

Sementara itu, Zulhairi berkata, punca kebakaran masih tidak diketahui dan bilik yang terbakar berkenaan menempatkan peralatan kerja miliknya termasuk barangan kelengkapan pendawaian elektrik, selain mesin jahit milik isteri.

 

“Saya anggarkan kerugian mencecah RM120,000 kerana hampir 70 peratus rumah ini musnah kecuali sedikit di bahagian depan. Buat sementara ini, saya menumpang berteduh di rumah mertua di Kampung Melayu Manong, Ayer Hitam,” katanya.

 

Dalam pada itu, Jamaludin berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib menimpa Zulhairi sekeluarga dan menghargai keprihatinan orang ramai terutamanya Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta JKM kerana membantu keluarga mangsa itu.

 

“MAINJ menyampaikan Bantuan Bencana Kebakaran sebanyak RM2,000 dan JKM pula menghulurkan sebanyak RM300 sumbangan daripada Tabung Bantuan Segera selain makanan. JKM juga akan membuat penilaian tambahan kos kerugian sehingga RM2,000 dan sumbangan akan terus dikreditkan ke akaun milik mangsa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya