[SIDANG DUN SABAH] Sabah terus membangun di bawah Hala Tuju SMJ - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN SABAH] Sabah terus membangun di bawah Hala Tuju SMJ

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor (kiri) menyerahkan ucapan dasar kerajaan kepada Juhar Mahiruddin sempena perasmian persidangan DUN Sabah di Kota Kinabalu hari ini.-IHSAN Jabatan Ketua Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Negeri Sabah dijangka akan terus membangun di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 yang akan membantu merangsang pemulihan ekonomi negeri ini.

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkata, menerusi pelan pembangunan SMJ itu, sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan akan dijadikan sebagai fokus utama untuk membawa Sabah lebih maju ke hadapan.

Menerusi hala tuju berkenaan, kerajaan negeri akan mengoptimumkan sumber dan hasil negeri, merangsang pemulihan ekonomi, meningkatkan ekonomi rakyat dan membangunkan modal insan untuk membina sebuah negeri dan masyarakat yang makmur dan sejahtera.

Beliau berkata, sejumlah 23 inisiatif di bawah Hala Tuju SMJ 1.0 melibatkan sektor pertanian sedang dilaksanakan pada tahun ini bagi meningkatkan pengeluaran sektor pertanian yang melibatkan pembangunan tanaman, pembangunan dan penyelidikan, program pendigitalan, penyampaian perkhidmatan dan latihan.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memberi penekanan kepada dasar jaminan bekalan dan keselamatan makanan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi bagi menampung keperluan rakyat.

Justeru itu, kerajaan menyasarkan kawasan seluas 26,300 hektar sawah padi bertanam pada tahun ini dengan anggaran pengeluaran sebanyak 148,500 tan.

Bagi sektor perindustrian pula, kerajaan akan melaksanakan pelbagai program dan projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang berpotensi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Sabah.

Juhar berkata, tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk merancakkan aktiviti perindustrian khususnya, aktiviti hiliran bernilai tinggi. Oleh itu, kerajaan negeri akan turut menambah baik kemudahan infrastruktur dan menyediakan persekitaran yang kondusif serta mesra pelabur bagi menarik pelaburan bernilai tinggi.

Setakat ini, pelaburan terbesar yang diterima bernilai RM4.28 bilion bagi pembukaan kilang pembuatan kerajang tembaga di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) untuk kegunaan bateri kereta berkuasa elektrik.

Seiring dengan Hala Tuju SMJ 1.0, usaha pemulihan hutan antara fokus pembangunan negeri. Maka, aktiviti-aktiviti pemulihan hutan akan diteruskan seiring dengan polisi memastikan 30 peratus hutan di negeri ini adalah kawasan terlindung sepenuhnya (TPA).

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri akan terus memberi penekanan kepada pentadbiran berpaksikan rakyat dengan meningkatkan usaha membantu komuniti daripada golongan rentan yang sakit terlantar dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Tambah beliau, pembabitkan wanita juga akan dipertingkatkan dalam inisiatif Hala Tuju SMJ 1.0 yang lebih fokus kepada sektor ekonomi serta modal insan.-UTUSAN ONLINE.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya