Segelintir pelancong buang sampai di Pantai Merdeka - Utusan Malaysia

Segelintir pelancong buang sampai di Pantai Merdeka

SEBAHAGIAN daripada tong sampah yang diselongkar oleh monyet di Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah. - UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI:  Sikap segelintir pengunjung yang sengaja meninggalkan sampah di merata-rata mencacatkan pemandangan kawasan Pantai Merdeka di sini.

 

Keadaan bertambah buruk apabila kemunculan sekumpulan monyet yang menyelongkar tong sampah  menyebabkan sampah bertaburan dan tidak terurus dengan baik.

 

Tinjauan Utusan Malaysia di Pantai Merdeka mendapati terdapat kira-kira kira-kira 20 tong sampah disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sepanjang persisiran pantai  memudahkan orang awam membuang sampah mereka.

 

Seorang pengunjung dari Sungai Petani, Norshuhaida Muhammad Ali, 44, berkata, berdasarkan kunjungannya itu dia mendapati tiada isu sampah yang serius di pantai ini.

 

“Bagi saya tempat ini masih lagi bersih dan selesa untuk dikunjungi cuma kehadiran monyet-monyet liar dari kawasan hutan terdekat menyebabkan sampah sarap berselerak,” ujarnya.

 

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Ismail  Firdaus, 46, berkata, PBT perlu mencari langkah penyelesaian bagi mengelak monyet-monyet liar menyelongkar tong sampah di kawasan peranginan terbabit. 

 

Katanya, keadaan tong sampah yang terbalik dan sampah yang berselerak menyebabkan kawasan terbabit terlihat kotor dan berbau busuk.

 

“Mungkin mustahil untuk kita halang kehadiran monyet-monyet tersebut tapi pihak PBT boleh ambil tindakan dengan gantikan tong sampah sedia ada dengan tong sampah yang bertutup dan tidak mudah terbalik,” ujarnya.

 

Sementara itu, pengunjung, Abdul Rahman Baharom, 47,  pula berkata, dia berharap pengunjung di kawasan peranginan ini supaya lebih bertanggungjawab dan tidak membuang sampah ke merata-rata tempat.

 

“Saya hairan dengan sikap segelintir pengunjung yang malas untuk membuang sampah mereka ke dalam tong sampah sedangkan terdapat banyak tong sampah yang disediakan di sepanjang pesisir pantai.

 

“Sepatutnya kita sendiri kena ada tanggungjawab dan kesedaran untuk jaga kebersihan tempat awam seperti ini untuk keselesaan kita bersama,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN