SAM bantah Selangor nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara - Utusan Malaysia

SAM bantah Selangor nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara

HUTAN Simpan Kuala Langat Utara berperanan menyerap pelepasan gas karbon dioksida di Lembah Klang yang teruk tercemar. – Foto ihsan Sahabat Alam Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyifatkan langkah kerajaan Selangor menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) sebagai tidak bertanggungjawab kerana lokasi itu merupakan salah satu hutan gambut terakhir di selatan negeri itu yang menjadi ‘mangsa’ kerakusan pembangunan komersial.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, pihaknya amat marah dengan keputusan kerajaan negeri itu terutama pada saat umat manusia menghadapi krisis alam.

Semalam, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengesahkan kelulusan pemberimilikan kawasan nyahwarta HSKLU pada 5 Mei lalu kepada syarikat pemaju, Gabungan Indah Sdn. Bhd.

Kelulusan kontroversi penyahwartaan tanah seluas 536.7 hektar tersebut oleh kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan itu malahan bercanggah dengan keputusan PKR sebelum itu sekali gus mencetuskan kemarahan Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi penjelasan tuntas.

Mengulas lanjut, Meenakshi dalam nada kesal berkata, tindakan kerajaan negeri itu juga jelas bercanggah dengan Rancangan Fizikal Negara yang seharusnya tiada penukaran status.

“HSKLU yang keluasan keseluruhannya 931 hektar itu sudah pun memenuhi syarat Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap Satu yang wajib dilindungi oleh pihak berkuasa,” tegas beliau.

Di sebelah barat hutan ini ujarnya, terdapat komuniti Orang Asli yang bergantung hidup sepenuhnya kepada kesejahteraan ekosistem HSKLU selain kaya dengan kepelbagaian biologi.

Bahkan terang beliau, Rancangan Tempatan Daerah Kuala Langat 2030 sendiri juga sudah pun mengkategorikan HSKLU sebagai zon tanpa pembangunan dengan litupan hutan asli.

Lebih aneh katanya, keputusan terbaharu itu berlawanan dengan ketetapan luar biasa yang usulnya diluluskan sendiri sebulat suara Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2020 lalu.

“Orang ramai juga telah menyatakan bantahan melalui lebih 45,000 nota protes dihantar kepada pihak Jabatan Perhutanan dan 130,000 tandatangan petisyen atas talian,” tambahnya yang turut menyifatkan pendirian kerajaan negeri itu mengabaikan kepentingan awam harus dikecam dan berlawanan dengan prinsip tadbir urus alam sekitar lestari yang baik. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya