KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan sedang memperuntukkan sebanyak RM4.66 bilion kepada Sabah dan RM4.47 bilion kepada Sarawak bagi membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di kedua-dua negeri berkenaan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena sambutan Hari Malaysia 2021 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini malam ini.
Beliau berkata, peruntukan itu selaras dengan hasrat untuk melihat kemakmuran negara dikongsi bersama. Ia akan disalurkan melalui peruntukan pembangunan Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe12), yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September ini.
“Peruntukan pembangunan ini antara yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain dan ia membuktikan komitmen tinggi kerajaan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di Sabah dan Sarawak.
“Berasaskan prinsip ‘Bekerja Bersama Rakyat’, kerajaan akan terus memberi fokus kepada penduduk di Sabah dan Sarawak, agar kemakmuran yang dikecapi pada hari ini dapat dinikmati secara saksama,” katanya.
Tambah beliau, peruntukan itu sejajar dengan komitmen kerajaan Persekutuan untuk memastikan status rakan sekutu yang sering dibangkitkan setiap kali menjelang Hari Malaysia dapat direalisasikan.
Ismail Sabri turut memberi jaminan akan terus memperhalusi perkara-perkara yang perlu diselesaikan secara rundingan menerusi Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63). Majlis itu dipengerusikan oleh beliau sendiri dan dianggotai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta lapan Menteri Persekutuan.
“Usaha ini membuktikan kerajaan komited dalam memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan negeri Sabah dan Sarawak.
“Meskipun Malaysia sebuah negara yang negeri-negerinya terpisah oleh Laut China Selatan, setiap cabaran berjaya ditangani secara bertoleransi dan demokratik, berpaksikan keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga memberi tumpuan untuk memulihkan sektor ekonomi negara khususnya di Sabah dan Sarawak yang terjejas akibat pandemik. Dengan itu, tumpuan akan diberi bagi membangunkan infrastruktur dan kemudahan asas dalam memastikan pembangunan mampan dan seimbang merentasi wilayah.
Mengambil semangat Sambutan Hari Malaysia pada hari ini, Ismail Sabri menyeru semua rakyat di negara ini untuk menghayati secara mendalam makna hari yang bersejarah ini.
“Sebagai Keluarga Malaysia yang besar, kita harus bertoleransi dalam semua perkara, hormat menghormati serta mengekalkan perpaduan yang ada. Kita juga harus bulatkan tekad dan bersatu hati untuk terus memelihara serta mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin; Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia 2021 Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mewakili Ketua Menteri Sarawak. -UTUSAN ONLINE