KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji masalah bencana alam yang kerap berlaku di Sabah sejak kebelakangan ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Kabinet Negeri telah melantik beliau untuk mempengerusikan jawatankuasa yang akan meninjau dan mengkaji punca bencana alam terutama banjir kilat yang berlaku.
“Ketika ini, apabila hujan selama empat hingga lima jam, banjir kilat pasti akan berlaku dan kita tidak tahu daripada mana sumber dan puncanya. Jadi, kita akan buat kajian bagi mengenal pasti dan seterusnya mencari kaeadah penyelesaian.
“Sekiranya ada perubahan perlu dilakukan kita akan lakukan perubahan yang boleh mengatasi masalah banjir ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JKR Sabah, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Notis kerjasama antara Jabatan Kerja Raya Persekutuan dan negeri bagi pelaksanaan Program Integrasi Data Sistem Skala-Palms (Sistem pentadbiran, pemanfaatan dan pengurusan projek).
Beliau yang juga Menteri Kerjaraya Sabah tidak menolak kemungkinan pelaksanaan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang berjalan menyumbang kepada masalah banjir di sesetengah kawasan.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata, banjir yang berlaku di Penampang baru-baru ini mengakibatkan bekalan air di beberapa kawasan terputus berikutan loji rawatan air ditenggelami banjir.
Apabila loji tenggelam dalam air yang berlumpur, ia memerlukan sedikit masa untuk membersihkan dan menggantikan alat yang mengalami kerosakan.
“Kalau ada peralatan yang rosak, ia akan mengambil masa kira-kira sebulan untuk diganti baharu dan peralatan ini perlu ditempah daripada luar negara. Jadi, kita berharap tiada bahagian yang rosak teruk dalam kejadian banjir baru-baru ini.
“Malah, saya juga telah mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk melihat perkara ini dan kita akan menghantar tangki air bagi memastikan penduduk terjejas menerima bekalan air bersih,” katanya.
Dalam pada itu, Bung Moktar mencadangkan agar Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah diiktiraf sebagai jabatan teknikal bagi membolehkan jabatan ini setaraf dengan JKR persekutuan dan boleh melaksanakan program pembangunan infrastruktur di negeri ini.
Tambah beliau, kerjasama yang terjalin hari ini menunjukkan satu permulaan yang baik untuk pertukaran sistem maklumat antara JKR persekutuan dan negeri bagi memastikan projek pembangunan fizikal di Sabah dipantau secara lebih dekat.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup; Ketua Pengarah JKR, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Pengarah JKR Sabah, Ir. Ali Ahmad Hamid.- UTUSAN ONLINE