Rusuhan depoh Imigresen, 21 penghuni ditahan - Utusan Malaysia

Rusuhan depoh Imigresen, 21 penghuni ditahan

MOHD. Zaidi Abdullah (tiga kiri) bertemu dengan wakil tahanan bagi meredakan rusuhan yang berlaku di Depoh Tahanan Imigresen di Kota Kinabalu.-IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Rusuhan yang berlaku di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) dekat sini pagi semalam membawa kepada tangkapan 21 orang penghuni warga Filipina.

Penghuni yang terdiri daripada 14 lelaki dan tujuh wanita berusia 19 hingga 46 tahun itu telah dikenal pasti serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk tindakan lanjut

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, rusuhan itu berlaku dipercayai susulan rasa tidak puas hati tahanan terhadap penangguhan penghantaran pulang ke negara asal mereka berikutan pandemik Covid-19 serta isu bekalan makanan di DTI.

Berdasarkan siasatan, rusuhan berlaku di blok E dan F, dimulakan oleh penghuni wanita yang bertindak keluar daripada sel dan berlegar di luar sambil menjerit ‘usir’ beberapa lagi untuk menimbulkan provokasi.

“Susulan itu, pegawai bertugas cuba mengawal keadaan dengan menenangkan tahanan wanita namun, tidak diendahkan. Sebaliknya, mereka bertindak menimbulkan kekeceohan dengan mengetuk dinding blok menggunakan bekas makanan serta botol air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Zaidi berkata, tindakan itu menyebabkan beberapa penghuni blok lain turut bertindak agresif hingga memecahkan mangga sel masing-masing bagi menyertai rusuhan tersebut. Keadaan menjadi tidak terkawal dan pihak DTI terus menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.

“Apabila pasukan kita tiba, penghuni kembali bertenang dan mematuhi arahan yang diberikan untuk masuk semula ke sel masing-masing kira-kira pukul 7.40 pagi.

“Saya juga bertemu dengan wakil tahanan yang juga ketua bahagian blok E dan F bagi meredakan keadaan,” katanya.

Menurutnya, semua tahanan turut dinasihatkan agar mematuhi peraturan ditetapkan di DTI dan jika ada masalah, tahanan perlu menggunakan saluran yang betul dengan memaklumkan kepada pengurusan DTI.

“Kalau boleh, jangan menimbulkan rusuhan hingga merosakkan harta kerajaan termasuk bangunan pusat tahanan. Dalam kejadian rusuhan semalam, lapan blok mengalami kerosakan pada bahagian mangga sel,” katanya.

Mohd. Zaidi memberi amaran kepada tahanan agar tidak cuba melarikan diri kerana kawasan pusat tahanan sudah dikepung.

Beliau berharap semua tahanan akan bersabar sehingga proses penghantaran pulang ke negara asal masing-masing dapat dilakukan selepas kadar jangkitan Covid-19 kembali stabil. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya