RMK-12: Tiga fokus perlu diberikan dalam bidang Pendidikan  - Utusan Malaysia

RMK-12: Tiga fokus perlu diberikan dalam bidang Pendidikan 

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga fokus utama bagi sektor pendidikan perlu diberikan perhatian khusus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan minggu depan.

 

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Anuar Ahmad berkata, tiga fokus tersebut termasuk pemulihan semula sistem pendidikan negara pasca pandemik; memperkasa pendidikan digital dan pengukuhan latihan perguruan.

 

Katanya, menerusi RMK-12, agenda pendidikan negara terutama selepas pandemik Covid-19 yang  berdepan situasi ‘kelumpuhan’ perlu diselesaikan.

 

“Akibat penutupan sekolah dan  sesi pengajaran serta pembelajaran di rumah (PdPR) yang disahkan Kementerian Pendidikan  kurang berkesan, didapati ramai murid  keciciran pembelajaran. Ketiadaan peranti  lebih 1.85 juta turut meningkatkan lagi keciciran pembelajaran murid-murid di seluruh negara. 

 

“Selain itu,  murid-murid  berhadapan dengan isu kesihatan mental akibat pandemik yang telah menggugat kehidupan keluarga mereka. Kesan kesihatan mental paling buruk pada murid-murid dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40). Kajian menunjukkan mereka hilang motivasi pembelajaran. Oleh itu, RMK-12 sepatutnya memberikan tumpuan  menjayakan Pelan Pemulihan Pendidikan Negara bagi memastikan semua murid-murid negara ini kembali belajar dan dapat menamatkan alam persekolahan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, Anuar berkata,  RMK12 seharusnya memberikan fokus kepada pelan penyediaan infra digital bagi memastikan semua murid-murid berpeluang untuk akses kepada pendidikan digital. 

 

” Persekitaran endemik juga menyebabkan pembelajaran akan menjadi hibrid dan tidak lagi seperti sebelum pandemik. 

 

“Apa yang sedang berlaku di negara lain seperti di Singapura, Amerika Syarikat (AS)  dan United Kingdom  (UK) di mana sekolah mereka yang telah dibuka kemudian terpaksa ditutup beberapa hari bila berlaku kes baru di sekolah perlu diberikan perhatian. Pdpr akan menjadi sebahagian amalan ketika fasa endemik nanti,” ujarnya.

 

Tambah Anuar, RMK-12 juga mestilah memberikan galakan kepada syarikat teknologi maklumat tempatan dan sektor industri digital kreatif swasta dengan insentif dan geran untuk menghasilkan mereka bahan bahan pembelajaran digital untuk digunakan oleh murid-murid. 

 

Sementara itu, Anuar berkata, RMK- 12 dalam masa yang sama perlu memberikan peruntukkan yang lebih besar kepada latihan keguruan kerana tanpa guru-guru yang mahir, matlamat menghasilkan murid-murid yang menguasai kemahiran teknologi dan pengetahuan masa depan sukar dicapai. 

 

” Latihan keguruan pasti akan berubah pada masa depan. Guru-guru pada masa depan perlu mempunyai kemahiran kemahiran pengajaran berteraskan digitalisasi. Keupayaan guru-guru bukan lagi sekadar sebagai pengajar di dalam bilik darjah semata-mata tetapi mereka adalah pembimbing dan fasilitator pembelajaran digital yang sifatnya lebih terbuka. 

 

“Pada masa yang sama, tumpuan RMK-12 juga tidak boleh meminggirkan agenda malar pendidikan seperti menyelesaikan segera isu prasarana sekolah daif, pemerkasaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),  isu perpaduan integrasi kaum dan isu meningkatkan aktiviti penyelidikan pendidikan. Agenda malar pendidikan ini adalah kesinambungan dari Rancangan Malaysia sebelum ini dan mestilah diteruskan di dalam RMK-12, ” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya