RMK-12 dirangka semasa Muhyiddin jadi PM - Utusan Malaysia

RMK-12 dirangka semasa Muhyiddin jadi PM

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dirangka ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Justeru, beliau menyeru supaya kerajaan memberi penelitian dan pertimbangan sewajarnya terhadap hakikat sebenar kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Katanya, politik prihatin dan politik khidmat yang menjadi amalan semasa pentadbiran Muhyiddin wajar diteruskan oleh kerajaan termasuk dalam pelaksanaan RMK-12. 

Menyorot pesanan Muhyiddin, kata Wan Saiful, kerajaan perlu menunjukkan komitmen berterusan dalam usaha menjaga kemaslahatan rakyat. 

“Kandungan RMK-12 dirangka di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sudah semestinya beliau memahami dengan mendalam mengenai kandungan, semangat dan matlamat yang harus memandu rancangan pembangunan lima tahun itu.

“Oleh itu, kerajaan mesti memastikan tiada satu segmen masyarakat yang tertinggal daripada arus oemulihan yang dilaksanakan selaras dengan prinsip keterangkuman yang ditekankan dalam RMK-12 dan pelbagai pakej bantuan sebelum ini. 

“Denyut nadi dan kesusahan yang mereka tempuh sepanjang hampir dua tahun mengharungi suasana pandemik Covid-19 mesti didengar, dibantu dan diberi perhatian sewajarnya,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini. 

Selasa lalu, kerajaan memperuntukkan RM400 bilion dalam RMK-12 dengan memberikan tumpuan kepada enam negeri selain mempertingkatkan ekuiti korporat dalam memperkasakan agenda bumiputera. 

Sembilan fokus yang dirangka memberi tumpuan kepada Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi, Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan, Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia, Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam serta Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan. 

RMK-12 juga menekan aspek Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia, Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun, Mempercepat Pertumbuhan Hijau dan Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam serta Memastikan Pelaksanaan Dasar Berkesan. 

Terdahulu, Muhyiddin berundur dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akibat hilang kepercayaan sebagai Perdana Menteri dan digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada UMNO. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya