SEGAMAT: Tindakan pantas seorang remaja orang kurang upaya (OKU) berjaya menyelamatkan nyawa empat sekeluarga daripada rentung di kediaman mereka di Bandar Putra di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, kesemua penghuni di dalam rumah tersebut sedang bersiap sedia untuk tidur.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat yang juga komander operasi, Mazuki Ismail berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.11 pagi.
“Setibanya di tempat kejadian didapati berlaku kebakaran rumah jenis kekal dua tingkat berkeluasan 14 x 70 kaki. Mujurlah kebakaran telah disedari oleh salah seorang anak pemilik rumah tersebut yang juga OKU.
“Remaja OKU autisme itu terhidu bau asap lalu keluar mengejutkan abangnya yang berada di bilik bersebelahan di tingkat atas,” katanya ketika dihubungi.
Sejurus selepas itu, anak bongsu daripada dua beradik itu telah turun memanggil kedua-dua ibu bapanya yang berada di bilik bawah bagi memaklumkan terdapat kebakaran di biliknya.
Kedua-dua ibu bapa remaja tersebut berumur lingkungan 40-an serta abangnya yang berumur 24 tahun yang juga seorang pelajar bergegas keluar setelah dimaklumkan mengenai kejadian.
Mazuki berkata, kebakaran dianggarkan memusnahkan 70 peratus kediaman yang melibatkan tiga buah bilik berada di tingkat atas.
Dengan kekuatan keseluruhan 17 orang anggota telah dihantar ke tempat kejadian dengan dua jentera dari BBP Bandar Baru Segamat bersama satu jentera dari BBP Segamat.
“Tindakan operasi pemadaman kebakaran dengan menggunakan dua aliran 100 kaki, empat pancutan sumber air dari pam jentera BBP Bandar Baru Segamat dan BBP Segamat (Relay Pumping) serta pili bomba berdekatan.
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan kira-kira pukul 2.32 pagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE