PETALING JAYA: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin ‘terbang’ ke Sarawak bagi memastikan Kementerian Pendidikan dapat mengumpulkan data yang cukup berkaitan pembukaan sekolah di negeri itu nanti.
Menerusi laman Facebook, Radzi memaklumkan telah mengadakan satu sesi bersama dengan guru besar dan pengetua sekolah di Bumi Kenyalang itu bagi mengenal pasti keperluan bagi penambahbaikan pembelajaran bagi pelajar-pelajar sekolah.
“Kami tiba di Kuching pagi ini untuk sesi libat urus pengoperasian sekolah bersama guru besar dan pengetua sekolah negeri Sarawak.
“Input dan pandangan dari sesi ini dapat membantu kementerian dalam memuktamadkan pelan komprehensif pengoperasian sekolah termasuk bagi negeri Sarawak yang berada di Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kementerian Pendidikan sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik,” katanya dalam catatan itu.
Selepas sesi tersebut, Radzi telah meluangkan masa untuk memantau sendiri Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi murid lingkungan umur 16 hingga 17 tahun di SMK Matang, Kuching.
Beliau berkesempatan untuk turun padang bertemu dengan Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak bagi melihat sendiri kerja yang melibatkan keperluan rakyat.
Turut kelihatan dalam lawatan itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datin Sri Noor Zamani Abdul Hamid dan Wakil Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian BPSH, Juraida Umat @ Bidin. – UTUSAN ONLINE