GEORGETOWN: Pulau Pinang diharapkan dapat menjadi negeri kedua selepas Pulau Langkawi, Kedah dipilih sebagai projek rintis di bawah program gelembung pelancongan untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, K. Raj Kumar berkata, penggiat industri perhotelan dan pelancongan di Pulau Pinang kini dalam keadaan bersiap sedia menanti khabar gembira berkenaan selepas industri pelancongan di Pulau Langkawi dapat kembali beroperasi pada 16 September ini.
“Kami jangka sekurang-kurangnya pada awal atau pertengahan Oktober ini mungkin Pulau Pinang dapat mencapai vaksinasi lokaliti 80 peratus.
“Sekiranya telah sampai (kadar vaksinasi) 80 peratus kami amat berharap Kerajaan Pusat akan segera membenarkan industri pelancongan di Pulau Pinang dihidupkan semula selepas Pulau Langkawi,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai permulaan, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini.
Menurut Raj Kumar, pada masa ini penggiat industri pelancongan dan perhotelan di Pulau Pinang memerhati dengan teliti segala prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembukaan semula industri berkenaan di Pulau Langkawi.
“Kita mahu belajar dengan pelbagai SOP ketat yang diperkenalkan di Pulau Langkawi sebagai langkah persediaan awal untuk membuka semula operasi sekiranya dibenarkan kelak.
“Industri perhotelan dan pelancongan di Pulau Pinang juga tidak mahu ketinggalan, malah pekerja di bidang ini juga lebih 98 peratus telah menerima dos pertama vaksin,” katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, pihaknya juga berharap pintu sempadan negeri-negeri akan dibuka secara berperingkat dengan SOP ketat bagi merancakkan pelancongan domestik.
“Bagi negeri-negeri utara, pelancong yang kerap melancong adalah mereka yang tinggal di Lembah Klang dan mereka adalah penggerak utama pelancongan domestik negara.
“Kami berharap selaras dengan kadar vaksin yang tinggi, rentas negeri juga akan dibolehkan sekurang-kurangnya pada Oktober ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE