PKRC Stadium Tertutup Nilai tamat operasi - Utusan Malaysia

PKRC Stadium Tertutup Nilai tamat operasi

PKRC Nilai sewaktu hendak dibuka pada awal Julai lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Stadium Tertutup Nilai di sini ditutup operasinya bermula esok.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah kes jangkitan Covid-19 yang semakin menurun di negeri ini termasuk di daerah Seremban.

Sehubungan itu, menurutnya, hanya tinggal tiga buah PKRC yang masih lagi beroperasi di negeri ini termasuk sebuah PKRC awam yang terletak di Hospital Tampin.

“Kini hanya tinggal sebuah PKRC awam di Tampin yang mempunyai kapasiti sebanyak 224 buah katil. Dua buah PKRC lagi iaitu swasta masih lagi beroperasi iaitu di yang dikendalikan Kumpulan Megaklinik Zahran di Nilai dan di Klana Beach Resort, Port Dickson,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.

Negeri Sembilan hari ini merekodkan sebanyak 169 kes baharu jangkitan Covid-19 selepas mencatatkan dua digit kes jangkitan baharu semalam iaitu sebanyak 89 kes.

Sementara itu, Aminuddin menambah, 15 Oktober depan merupakan hari terakhir untuk 10 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam di negeri ini akan beroperasi sebelum ia ditutup.

“Esok adalah hari terakhir untuk pemberian dos pertama vaksin Covid-19 dan 15 Oktober depan adalah hari terakhir untuk semua PPV Awam kita. 

“Selepas ini (pemberian vaksin) akan berpindah ke klinik kesihatan dan hospital awam.

Ia adalah arahan daripada Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) Persekutuan dan memang boleh ditutup,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN