PKP: Banyak haiwan Zoo Melaka bunting - Utusan Malaysia

PKP: Banyak haiwan Zoo Melaka bunting

Pengunjung memberi makan kepada singa di Zoo Melaka, Ayer Keroh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kadar bunting dan kelahiran haiwan di Zoo Melaka di sini merekodkan peningkatan ketara, dek kerana ketiadaan pengunjung berikutan penutupan operasi akibat pandemik Covid-19.

Beberapa spesies haiwan melahirkan anak sepanjang tempoh 10 bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman.

Memaklumkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, selain ungka tangan putih (white handed gibbon) yang melahirkan anak kembar pertama kali direkodkan di Asia, monyet capuchin dari Afrika Selatan turut melahirkan seekor anak, dua minggu lalu.

Selain itu, ujarnya, kambing gurun juga melahirkan dua ekor anak iaitu pada PKP pertama Mac 2020, dan seekor lagi ketika PKP tahun ini.

Menurutnya, ketika ini Zoo Melaka sedang menanti kelahiran anak pertama singa putih dari Afrika Selatan, dijangka dilahirkan pada bila-bila masa.

“Pekerja zoo menyedari haiwan tersebut mula mengawan tiga bulan lalu dan sejak itu, ia dipantau dari segi diet pemakanannya, kesihatan dan kebersihan kawasan sekitar.

“Antara binatang lain yang sarat bunting ketika ini ialah rusa lechwe dan rusa bintik. Dianggarkan antara dua atau tiga ekor dijangka melahirkan anak tidak lama lagi.

“Mungkin disebabkan tiada kedatangan orang ke zoo membolehkan haiwan ini mengawan tanpa digangg,” katanya ketika ditemui.

Tambah Shadan, situasi itu juga berjaya menepis tohmahan di media sosial yang mendakwa banyak haiwan di Zoo Melaka terabai.

Tegasnya, sejak MPHTJ mengambil alih pengurusan daripada pihak swasta pada 2018, penghuninya telah dijaga dengan sempurna.

“Memang benar sepanjang tempoh 10 bulan kita terhimpit apabila zoo tidak beroperasi tetapi haiwan tetap dijaga dengan sempurna, malah 96 kakitangan tidak dicuti atau diberhentikan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya