Pesawah rugi 100,000 padi ditenggelami banjir - Utusan Malaysia

Pesawah rugi 100,000 padi ditenggelami banjir

PETANI menunjukkan kawasan sawah padi yang mereka usahakan ditenggelami banjir di Kampung Alor Berala, Pendang hari ini. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Pesawah di empat buah kampung di sini mendakwa mengalami kerugian RM100,000 selepas sawah mereka ditenggelami banjir ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Pesawah dari empat kampung itu ialah Kampung Alor Berala, Kampung Alor Pudak, Kampung Sungai Mati dan Kampung Banggol Tok Ali yang membabitkan kawasan tanaman padi seluas 25 hektar itu.

Seorang pesawah, Abd. Rani Baharom ,68, dari Kampung Alor Berala berkata, kejadian banjir tersebut bertambah buruk lagi berikutan sistem pengairan di kawasan sawah tersebut tidak dapat menampung aliran air dari Sungai Padang Kerbau dan Sungai Pendang.

Katanya, keadaan tersebut menyebabkan kawasan sawahnya seluas kira-kira tiga hektar tersebut ditenggelami banjir sehingga mencecah 1.5 meter.

“Apa yang menyedihkan pokok padi yang sudah berusia 90 hari dan boleh mula dituai mengalami kerosakan selepas ditenggelami banjir tersebut.

“Jika masalah ini tidak dapat diatasi, petani akan sering mengalami kerugian malah tidak berminat untuk meneruskan penanaman padi kerana tidak sanggup lagi menanggung kerugian,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jamaluddin Mahmud, 65, pula berkata, ramai petani di sini mengeluh kerana punca utama berlakunya banjir di sini kerana masalah pengairan sudah dimaklumkan kepada pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tetapi masih belum ada sebarang tindakan diambil.

“Sungai Padang Kerbau dan Sungai Pendang sudah lama tidak dibersihkan sehingga menyebabkan aliran air tersekat dan melimpah di kawasan sawah,” ujarnya.

“Pokok padi akan rosak sekiranya pokok padi tersebut ditenggelami hingga beberapa hari,” ujarnya.

Mohammad Khairul Nizam Ahmad, 22, berkata, petani terlibat berharap (MADA) dapat meninjau sistem pengairan yang menjadi masalah kepada petani apabila terpaksa menanggung kerugian apabila pokok padi ditenggelami banjir.

“Sungai yang terdapat di kampung itu yang menjadi nadi petani terbabit perlu didalam dan dibersihkan bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya