LIPIS: Seorang warga emas berusia 68 tahun maut selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan di Kilometer 5, Jalan Lipis-Merapoh berdekatan Kampung Tempoyang di sini malam semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam, mangsa yang memandu kereta jenis Kia Sephia, Raja Mohamad Raja Daud dan beralamat di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Sungai Kerpan di sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.
Pemandu sebuah lagi kereta jenis Honda City, Mohamad Zulfikri Suhaimin, 28, dan adiknya, Muhammad Syaiful Izwan Suhaimin, 19, hanya mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.
Ketua Polis Lipis, Suprintenden Azli Mohd. Noor berkata, siasatan mendapati warga emas berkenaan yang sedang memandu dari arah bandar Kuala Lipis ke rumahnya di Padang Tengku di sini dipercayai hilang kawalan. ketika melalui lokasi kejadian.
“Kereta yang dipandu warga emas ini telah bertembung dengan kereta jenis Honda City dari arah Merapoh yang dipandu oleh Mohamad Zulfikri.
“Warga emas itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu sebuah keretamlagi selamat dan adiknya cuma mengalami kecederaan kaki kiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azli, mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk dibedah siasat, manakala penumpang sebuah kereta lagi juga dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE